Khamis, 7 March 2019 | 9:00am
HAMPIR 15 tahun berumah tangga, Amyza dan Khairil bahagia bersama tiga cahaya mata mereka. Foto Zulfadhli Zulkifli

'Biarlah dia buat provokasi, saya tetap percayakan suami'

KUALA LUMPUR: “Ia cerita lama dan saya langsung tidak terkesan dengan provokasi yang dibuat kerana lebih mempercayai keikhlasan hati suami,” kata pelakon, Amyza Aznan.

Pelakon berusia 43 tahun itu berkata, dia sengaja mendedahkan mesej yang dihantar di laman sosialnya untuk memaklumkan, ia sebenarnya kisah lama sebelum mereka berumah tangga.

“Sebelum ini, saya sering menerima mesej yang sama daripada seorang individu kononnya suami saya, Khairil Idzhar Md Nazir menjalin hubungan dengan wanita lain.

“Saya tidak terkesan dengan perbuatannya itu kerana kami sudah lupakan kisah lalu. Lagipun, ia berlaku sebelum kami berumah tangga dan masing-masing sudah belajar daripada kesilapan lalu.

“Alhamdulillah, sepanjang perkahwinan, saya dan suami mengambil pendekatan untuk saling mempercayai antara satu sama lain. Itu sangat penting untuk memastikan rumah tangga sentiasa harmoni,” katanya.

Baru-baru ini, Amyza memuat naik paparan skrin mesej individu yang mendakwa ibunya yang pernah bekerja di sebuah kaunter minyak wangi terserempak suaminya dengan wanita lain.

Amyza bagaimanapun, membalas mesej itu secara sinikal dengan mengatakan, suaminya terpaksa membelikan minyak wangi kerana wanita yang dimaksudkan itu berbau busuk.

Sementara itu, ditanya mengenai masalah orang ketiga yang sering menjadi igauan ngeri buat pasangan yang berumah tangga, Amyza berkata, perkara paling utama adalah saling mempercayai.

“Jika ada melakukan kesilapan, luahkan dan jangan simpan. Bimbang apabila ada syak wasangka, lambat-laun ia menjadi pemacu yang merosakkan kebahagiaan suami isteri.

“Kejujuran juga menjadi perkara utama, selain cinta. Ada ketika, perkara kecil juga boleh merebak dan menyebabkan pergaduhan besar. Jadi, jangan ambil mudah setiap isu berbangkit.

“Saya selalu mengambil iktibar dan belajar daripada pengalaman orang lama yang mempertahankan kebahagiaan hingga akhir hayat.

“Bagi saya, selagi pasangan kita ada, hargailah. Sentiasa sematkan kasih sayang supaya apabila mereka tiada nanti, kita tidak ralat,” katanya.

Amyza dan Khairil mendirikan rumah tangga pada 2004 dan dikurniakan tiga anak iaitu Andre Mikhail, 14, Andrian Adam, 11 serta Ayden Andika, 5.

Berita Harian X