Khamis, 28 Februari 2019 | 12:39pm
Aprena (kanan) berharap teman baiknya, Bella dapat mencari jalan penyelesaian dalam krisis terbaru membabitkan dakwaan kononnya Oktovia, iaitu kakak Aprena, menjalin cinta lokasi dengan suami Bella, Aliff. Foto dirakam ketika Aprena dan Bella yang mengenakan persalinan rekaan Ezuwan Ismail, menjayakan penggambaran klip video lagu Semakin. - Foto ihsan Ezuwan Ismail
Aprena (kanan) berharap teman baiknya, Bella dapat mencari jalan penyelesaian dalam krisis terbaru membabitkan dakwaan kononnya Oktovia, iaitu kakak Aprena, menjalin cinta lokasi dengan suami Bella, Aliff. Foto dirakam ketika Aprena dan Bella yang mengenakan persalinan rekaan Ezuwan Ismail, menjayakan penggambaran klip video lagu Semakin. - Foto ihsan Ezuwan Ismail

'Elok semuka selesai sengketa'

KUALA LUMPUR: Selepas kakaknya memohon maaf atas kontroversi keluar dengan suami teman rapatnya sendiri, Aprena Manrose berharap Bella Astillah dan Aliff Aziz menemui jalan damai melerai kekusutan dalam rumah tangga mereka.

Mengaku serba salah apabila kisah panas membabitkan kakaknya, Oktovia Manrose yang didakwa keluar dengan Aliff hangat diperkatakan, Aprena mengaku amat memahami perasaan Bella sekarang.

“Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa. Saya serba salah ketika kemelut mereka menggelegak... Saya rapat dengan kedua-dua mereka.

“Oktovia kakak kandung, Bella pula kami mula rapat selepas saya berlakon dengan Aliff.

“Bayangkan, kami boleh serasi sehingga terbabit dalam projek khas menyanyi lagu dendangan Siti Sarah berjudul Semakin,” katanya melalui catatan pada Instagram Story (IG) yang dimuat naik, kira-kira sejam lalu.

Semalam, Bella mendedahkan sikap suaminya yang didakwa menjalin cinta lokasi dengan Oktovia ketika menjalani penggambaran telefilem.

Bella mendakwa mempunyai bukti Oktovia dan Aliff berhibur di sebuah pusat hiburan selain berkongsi paparan perbualan WhatsApp dengan sumber mengenai hal terbabit.

Aprena berkata, pada mulanya, dia memikirkan tidak sepatutnya mencampuri masalah yang dihadapi kakak dan Bella.

“Tapi, apabila ada yang memalit nama saya, difikirkan saya perlu bersuara sedikit.

“Jujur dinyatakan, tidak wujud istilah saya hendak mempertahankan kakak sendiri... Bagi saya, siapa yang salah, tetap salah.

“Malah, Oktovia sudah memohon maaf atas keterlanjuran itu. Sebagai wanita dan isteri, saya faham getar hati Bella saat berdepan situasi ini.

“Saya harap mereka akan mencari jalan damai dan bersemuka depan mata tanpa terus berbalas kenyataan di laman sosial,” katanya.

Aprena berkata, Aliff perlu bertanggungjawab dan mengambil peranan penting dalam meleraikan permasalahan itu.

“Saya sayangkan mereka... Buat Aliff, tampil secara budiman untuk selesaikan semuanya,” katanya.

Aprena juga tidak bersetuju dengan tindakan Bella memuat naik paparan skrin perbualan dengan sumber yang dipercayai mempunyai bukti Aliff dan Oktovia berseronok di kelab malam.

“Kita tak tahu apa niat orang. Apa saja di laman sosial ini cepat tular dan mengundang fitnah.

“Saya ada beritahu Bella agar tidak berkongsi hal itu. Tapi mungkin dia sedang beremosi... Saya tak salahkan dia, benda pun sudah terjadi.

“Netizen pula usahlah teruja hendak menjadi wira papan kekunci. Belajarlah untuk tidak terus menghukum” katanya.

Berita Harian X