X
Rabu, 27 Februari 2019 | 6:33pm
APRENA berharap kontroversi membabitkan kakaknya tidak menggugat persahabatannya dengan Bella Astillah. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
APRENA berharap kontroversi membabitkan kakaknya tidak menggugat persahabatannya dengan Bella Astillah. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Tanya mereka sendiri, jangan dengar cakap orang'

KUALA LUMPUR: “Seboleh-bolehnya saya tidak mahu masuk campur kerana itu urusan mereka. Namun, saya berharap sangat kakak dapat menyelesaikan isu ini dengan baik,” kata Aprena Manrose.

Adik kepada pelakon, Oktovia Manrose itu turut menasihati isteri Aliff Aziz, Bella Astillah yang juga kawan baiknya supaya mendengar cerita daripada mulut mereka sendiri, bukan sumber lain.

“Saya faham, Bella sebagai isteri pasti kecewa apabila sekali lagi berdepan dengan kemelut rumah tangga. Mungkin dia masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“Cuma, pada masa sekarang, ada baiknya Bella mendengar sendiri pengakuan dari mulut suaminya dan Oktovia, bukan berpandukan cakap sumber luar,” katanya.

Kekalutan dalam rumah tangga pasangan itu tercetus apabila Bella menerusi hantaran di Instagram mendakwa, suaminya mempunyai hubungan dengan Oktovia.

Bella dalam kenyataannya, mendakwa Aliff dan Oktovia keluar bersama ke pusat hiburan selepas digandingkan dalam telefilem, Dosa Itu Bukan Miliknya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Bella, Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena, 25, berharap kontroversi itu tidak menjejaskan persahabatan mereka.

Aprena berkata, dia dan Bella menjalin kerjasama menerusi rakaman semula lagu popular Siti Sarah Raissuddin, Semakin yang dimuat naik di YouTube, semalam.

“Saya berharap hubungan baik kami tidak terkesan dengan apa yang berlaku. Saya juga berharap sangat mereka dapat selesaikan kemelut ini dengan baik,” kata anak bongsu penyanyi, Iwan dan pelakon, Allahyarham Rosnah Mohd Noor itu.

Aprena mula dikenali apabila diberi peluang menggalas watak utama dalam drama, Tiada Arah Jodoh Kita, bergandingan dengan Shukri Yahaya, tahun lalu.

Berita Harian X