Rabu, 27 Februari 2019 | 5:03pm
OKTOVIA kesal dikaitkan sebagai punca perbalahan Aliff Aziz dan isteri. Foto Mahzir Mat Isa
OKTOVIA kesal dikaitkan sebagai punca perbalahan Aliff Aziz dan isteri. Foto Mahzir Mat Isa

Kami hanya kawan, bagi bukti saya mabuk - Oktovia Manrose

KUALA LUMPUR: Pelakon Oktovia Manrose yang dikaitkan menjalin hubungan dengan Aliff Aziz mengakui, pernah keluar bersama, namun hanya sebagai kawan.

Oktovia atau nama lengkapnya, Wan Syamira Putri Octovia Wan Syahman, 27, menegaskan dalam satu hantaran di Instagram, mereka tidak hanya keluar berdua, sebaliknya ditemani beberapa rakan lain untuk mengelak fitnah.

“Saya tidak suka orang menambah-nambah cerita, jaga sikit air muka. Alif dengan saya keluar hanya sebagai kawan dan tiada hubungan serius antara kami berdua,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, pelakon yang dikenali menerusi drama Encik Suami Mat Salih Celup, Dendam Aurora dan Cinta Tiada Ganti juga kesal dengan dakwaan isteri Aliff, Bella Astillah yang menuduhnya mabuk.

“Tolong bagi bukti kerana saya tidak suka dia membuat kecoh hanya dengan mendengar cerita pihak lain.

“Tolong jaga air muka ayah saya. Yang lain saya tidak peduli,” katanya yang turut meminta orang luar supaya tidak menjaga tepi kainnya untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Sementara itu, Bella dalam satu hantaran lain mempertikai kenyataan Oktovia itu, malah mendakwa memiliki bukti pelakon itu dan suaminya keluar bersama jam 3 pagi.

“Kamu tahu kan dia suami orang? Dia sudah seminggu tidak balik rumah, sedangkan isteri dan anak menanti kepulangannya.

“Boleh pula kamu tanpa rasa bersalah keluar bersama ke pusat hiburan? Saya tak bodoh keluarkan kenyataan itu kerana saya ada bukti yang terlebih cukup. Saya ada tiga video,” tulisnya dalam hantaran itu.

Bella pada pagi tadi menerusi Instagram mendedahkan, rumah tangganya dan Aliff sekali lagi bergolak apabila mendakwa, suaminya menjalin hubungan dengan Oktovia.

Kakak kepada penyanyi Didi Astillah itu ketika ditemui BH Online, akur dan reda jika ditakdirkan perkahwinan yang didirikan pada 9 September 2016 itu berakhir dengan perpisahan. Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden Adrean pada 8 Julai 2017.

Berita Harian X