Rabu, 20 Februari 2019 | 11:02am
BIARPUN menunjukkan perkembangan positif, Mamat masih belum bersedia menerima pelawat. Foto NSTP

Dipindah wad biasa, Mamat Khalid belum sedia terima pelawat

KUALA LUMPUR: Perkembangan kesihatan pengarah prolifik, Mamat Khalid semakin positif apabila sudah dipindahkan ke wad biasa, pagi semalam.

Anak keempatnya, Mohd Khalid Amen, 23, berkata ayahnya kini ditempatkan di wad biasa selepas 23 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Jantung (CCU) di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, namun belum bersedia menerima pelawat.

“Alhamdulillah, maklum balas yang ditunjukkan sangat memberangsangkan. Buat masa ini, ayah sudah boleh berbual, tetapi memerlukan masa untuk bercakap seperti dulu.

“Selain rawatan berkala, ayah juga perlu menjalani fisioterapi secara rutin untuk melancarkan semula pergerakannya, pada masa sama, harus banyak berehat.

“Doktor sarankan supaya kami membataskan jumlah pelawat kerana tidak mahu dia cepat penat, walaupun ayah seronok setiap kali dapat bertemu ramai kawan,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Mamat dimasukkan ke hospital terbabit pada 25 Januari lalu akibat masalah paru-paru dan jantung. Bapa kepada lima cahaya mata itu seterusnya dikomakan selama 48 jam bagi merehatkan jantungnya supaya kembali stabil.

Sebelum ini, Mamat pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sekitar 2017 kerana sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem arahannya, Lebuh Raya Ke Neraka.

Mamat juga pernah menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat disebabkan masalah sama.

Berita Harian X