Jumaat, 15 Februari 2019 | 3:28pm
ZUL Ariffin menyerahkan kepada peminat untuk membuat andaian mengenai hubungannya dengan gadis Ukraine. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Saya takkan kahwin sorok - Zul Ariffin

PETALING JAYA: “Saya tidak akan berkahwin sorok-sorok. Apabila sampai masanya nanti, pasti saya beritahu. Dah tak lama pun.

“Cuma, apabila berkahwin nanti, saya tidak akan buat majlis besar-besaran. Memadai sederhana saja,” jelas pelakon, Zul Ariffin ketika ditanya mengenai desas-desus mengatakan, dia sudah berumah tangga.

Enggan mengesahkan atau menafikan gosip percintaannya dengan wanita Ukraine, Tanya Glembotska, pelakon bertubuh sasa itu sebaliknya, menyerahkan kepada peminat untuk membuat tafsiran tersendiri.

Bagi Zul atau nama lengkapnya, Zulkifli Ariffin, 33, dia tidak akan membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai hubungan mereka.

“Terpulang kepada khalayak untuk membuat penilaian berdasarkan apa yang mereka lihat di media sosial.

“Saya tidak akan membuat sebarang kenyataan, malah tidak mahu mengesahkan atau menafikan hubungan kami.

“Saya percaya, di luar sana, orang sudah tahu apa yang berlaku kerana perkara itu memang ketara. Namun, untuk saya menjawab persoalan itu, ia tidak akan sesekali berlaku,” tegas Zul.

Sebelum ini, Zul yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem, Misteri Dilaila lakonannya di Mutiara Damansara, di sini, malam tadi, menafikan sudah berkahwin dengan Glembotska.

Khabar angin mengenai perkahwinan mereka tercetus apabila satu akaun Instagram (IG) gosip tempatan menyebarkan gambar Zul dan Glembotska yang dikongsi di ruangan IG Story gadis itu.

Glembotska dalam perkongsian itu menulis: "I want to say thanks to my husband, I am very happy with you,", sekali gus mencetuskan spekulasi mereka sudah berumah tangga.

Sementara itu, ketika diminta mengulas bekas kekasihnya, Zahirah MacWilson yang menemui cinta baharu bersama pelakon, Aiman Hakim Ridza,  Zul mengucapkan tahniah dan mengakui gembira dengan perkembangan itu.

“Hubungan itu adalah yang terbaik buat mereka. Zahirah dan Aiman masih muda, banyak benda yang boleh dilakukan bersama. Layarilah hubungan dengan sebaiknya dan raikan kehidupan ini.

“Cuma, saya berharap, Zahirah tidak lagi bercakap perkara buruk mengenai saya kepada kekasih baharu. Ini kerana saya tidak pernah bercakap mengenai sejarah hubungan lalu kepada pasangan saya,” pintanya.

Berita Harian X