Rabu, 13 Februari 2019 | 12:22pm
SETAHUN ‘berperang’ dengan diri, Eyra membulatkan tekad untuk bertudung, kelmarin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Berhijab bukan kerana nak kahwin - Eyra Hazali

KUALA LUMPUR: Selepas setahun ‘berperang’ dengan perasaan sendiri selain hati yang belum cukup kuat, akhirnya pelakon, Eyra Hazali membulatkan tekad berhijab.

Bintang drama rantaian popular, Mr Grey itu mengaku selama ini dihantui rasa bersalah memikirkan kewajipan menutup aurat yang dituntut agama.

“Niat untuk berhijab sudah lama disimpan sejak setahun lalu. Bagaimanapun, ketika itu, saya masih ‘berperang’ dengan perasaan sendiri.

“Ini kerana hati belum cukup kuat untuk membuat keputusan (berhijab). Saya terlalu memikirkan nasib kerjaya dan pandangan orang lain.

“Bagaimanapun, selepas terbaca sepotong ayat berkaitan hidayah yang diberi Allah, selain tidak mahu berterusan memalit dosa kepada bapa jika tidak menutup aurat, akhirnya, subuh kelmarin, saya memutuskan memakai tudung,” katanya kepada BH Online.

Mengulas reaksi diterima selepas penampilannya berubah, Eyra atau nama penuhnya, Hazirah Qasalina Hazali, 20, memberitahu, ramai yang terkejut dengan imejnya sekarang.

“Keluarga termasuk tunang saya terkejut. Mereka meminta kepastian apakah saya benar-benar bersedia dengan keputusan yang dibuat.

“Saya sebenarnya bimbang selepas melihat apa yang berlaku sejak kebelakangan ini... Tetapi saya yakin Allah akan bantu.

“Saya memakai hijab atas kerelaan sendiri, bukannya kerana mahu berniaga tudung atau hendak kahwin," katanya ditemui pada sidang media Anugerah Meletop Era 2019 di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Eyra yang juga tunang kepada penjaga gol skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli, 21, memberitahu mereka bakal disatukan, November depan.

“November dipilih kerana ia bulan yang sangat istimewa buat kami. Sebagai pemain bola sepak, dia susah hendak mendapat cuti panjang. Hanya akhir tahun dia boleh bercuti.

“Tarikh sebenar majlis masih dirahsiakan... Insya-Allah, Ogos depan saya umumkan,” katanya.

Eyra dan Haziq mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu selepas setahun bercinta.

Berita Harian X