Selasa, 5 Februari 2019 | 2:52pm

'Arwah ayah mahu kami banggakan dia dan emak'

PETALING JAYA: Anak sulung Allahyarham Roslan Hussin, Muhamad Rusydi Najmi, 21, akan memastikan kebajikan ibu dan adik-beradiknya terjaga seperti yang diamanahkan ayahnya.

Tidak menyangka insan kesayangannya ‘dijemput’ awal, Muhamad Rusydi bagaimanapun, reda kerana diberi peluang menghabiskan masa bersama-sama beberapa hari sebelum pemergian arwah bapanya.

“Minggu lalu, ayah memandu ke Rawang sendirian semata-mata mahu mengambil saya pulang dari asrama. Kebetulan adik, Ain (Siti Nurul Ain Emelia) turut balik dari Melaka, jadi ayah mahu kami semua berkumpul seperti selalu.

“Dalam perjalanan, kami singgah minum. Agak lama juga kami bersembang, bergurau dan berkongsi cerita. Ayah nampak bertenaga dan boleh lagi memandu jauh.

“Saya tidak sangka, itu pertemuan kami yang terakhir. Kami adik-beradik bagaimanapun, sentiasa ingat pesan arwah ayah supaya menjaga emak. Paling penting, arwah mahu kami belajar bersungguh-sungguh untuk membanggakannya dan emak,” katanya.

Muhamad Rusydi juga tidak menyangka, pujukan supaya adiknya tidak risau kerana dia mampu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjadi kenyataan.

“Saya pernah memberitahu Ain, minta dia jangan risau kerana saya akan mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga jika ayah tiada. Tidak sangka, perkara yang saya sebutkan tanpa sengaja menjadi kenyataan,” katanya kepada BH Online.

Roslan, 54, yang juga pelakon dan pengarah drama era 1990-an menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada ‪jam 4.45‬ petang, semalam.

SITI Nurul Ain Emelia menyiram air di pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, pagi tadi. - Foto Eizairi Shamsudin

Arwah pernah dimasukkan ke hospital disebabkan serangan jantung, tiga tahun lalu dan sekali lagi dirawat kerana angin ahmar pada 2017.

Sejak itu, Allahyarham sering keluar masuk hospital mendapatkan rawatan, selain pemeriksaan berkala untuk masalah asma, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Pengarah filem Prince of the City yang turut dibintangi pelakon Hollywood, Michael Madsen itu meninggalkan seorang isteri yang juga suri rumah dan empat anak berusia antara 21 hingga 10 tahun.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia produksi, Allahyarham pernah menjadi pelakon bangsawan, aktivis teater, penari selain bekerja dengan sutradara dari British Broadcasting Corporation (BBC), London dan pengarah Hong Kong.

Sementara itu, adik Allahyarham, Mashor, 53, mengakui, ketika hayatnya, Roslan sentiasa meletakkan kepentingan keluarga di tempat teratas dan memastikan pendidikan anaknya terjaga.

“Arwah bukan jenis yang cepat mengalah, biarpun terlantar sakit. Sekalipun kudratnya terbatas, semangat arwah kuat.

“Arwah ada suarakan hasrat untuk kembali bekerja sekiranya sihat. Saya faham situasinya dan kami adik-beradik cuba membantu apa yang termampu.

“Sebagai bapa, arwah sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Dalam keadaan isteri yang tidak bekerja dan semua anak masih belajar, saya berharap masa depan pendidikan anaknya terpelihara,” katanya.

MUHAMAD Rusydi Najmi menabur bunga mawar di pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, pagi tadi. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X