Khamis, 31 Januari 2019 | 9:31am
EZLYNN menjadikan Nikki Minaj sebagai sumber inspirasi apabila mahu tampil dengan imej baharu. Foto Nik Hariff Hassan
EZLYNN menjadikan Nikki Minaj sebagai sumber inspirasi apabila mahu tampil dengan imej baharu. Foto Nik Hariff Hassan

Ezlynn sanggup berhabis demi rambut palsu

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ezlynn sanggup berhabis sehingga RM5,000 membeli koleksi rambut palsu demi membentuk imej baharu sempena kemunculan single terbaru, Goyang.

Ezlynn atau nama lengkapnya, Azline Ariffin berkata, setakat ini dia sudah mengumpul 50 koleksi rambut pelbagai warna dan potongan untuk digayakan ketika membuat persembahan.

“Tidak ada tempat tertentu untuk saya beli. Mana yang saya berkenan dan nampak cantik serta sesuai, saya akan beli. Setakat ini, saya sudah ada 50 koleksi rambut palsu.

“Saya rasa selesa sangat menggayakan rambut palsu kerana tidak menyakitkan kulit kepala dan boleh dipakai dalam tempoh agak lama.

“Kesemua rambut palsu ini adalah sintetik, bukan rambut betul. Apabila terfikir untuk muncul dengan imej baharu, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran adalah mengubah gaya rambut.

“Ia paling mudah dilakukan dan orang juga cepat perasan dengan perubahan yang dibuat,” kata Ezlynn kepada BH Online.

Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Hi Hi Bye Bye ini mengakui, gaya bintang antarabangsa, Nikki Minaj menjadi sumber rujukan utama apabila bergaya.

“Idea menggayakan rambut palsu tercetus ketika saya menjayakan sesi fotografi untuk sebuah majalah. Ketika itu, saya dikehendaki meniru gaya Nikki Minaj dan dipakaikan rambut palsu biru.

“Melihat hasilnya yang menjadi, saya terus menjadikan imej penyanyi rap terkenal itu sebagai rujukan. Jangan salah faham, saya hanya mengikut gaya rambutnya, bukan pakaian,” katanya.

Tambah penyanyi berusia 37 tahun itu lagi, imej rambut palsu pelbagai warna bersesuaian dengan personalitinya yang lincah dan periang.

Ia juga bersesuaian dengan genre muzik single terbarunya yang berkonsepkan Fun Ska. Lagu itu menerima sentuhan pasangan suami isteri, Farique Nadzir dan Adah Kahir.

Berita Harian X