Rabu, 30 Januari 2019 | 11:05am
ARA sentiasa pastikan fizikal dan mental sudah bersedia harungi cabaran AJL 33, Ahad ini. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Nanti orang cop 'artis sakit' pula - Ara Johari

KUALA LUMPUR: Peluang kedua beraksi pada kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) diambil penyanyi, Ara Johari untuk menebus kegagalan ketika beraksi membawakan Warkah Untukmu, tahun lalu.

Selepas gagal memberikan persembahan terbaik ketika bersaing pada AJL 32 kerana masalah kesihatan, Ara berkata, dia berusaha menjaga diri untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 21, dia tidak ralat berkorban mengurangkan aktiviti malam untuk memastikan dirinya mempunyai rehat yang cukup.

“Kebelakangan ini, saya agak kurang sihat, namun berharap akan segera pulih menjelang kemuncak AJL 33 kerana tidak mahu kesilapan tahun lalu berulang.

“Bimbang pula nanti dicop sering mempunyai masalah kesihatan setiap kali menjelang acara besar. Seboleh mungkin, saya tidak mahu lagi menghampakan harapan peminat dan komposer yang menaruh kepercayaan terhadap kemampuan saya,” katanya.

Bakal mempertaruhkan lagu Bunga pada kemuncak AJL 33, Ahad ini, Ara berkata, sejak dua minggu lalu juga, dia sudah mula memberikan fokus penuh kepada persiapan menjelang detik penting itu.

“Banyak perkara yang perlu dititik beratkan, selain vokal. Saya juga perlu memastikan fizikal dan mental saya sudah bersedia kerana saingan kali ini bukan calang-calang,” katanya.

Mengulas harapan peminat terhadap lagu ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok yang meraih Lagu Terbaik pada persaingan minggu kedua Separuh Akhir Muzik Muzik 33 lalu, Ara berkata, dia hanya memikirkan bagaimana mahu tampil terbaik.

“Sama seperti komposer lagu ini, saya juga menaruh harapan tinggi untuk melihat Bunga mencatat kejayaan. Apa yang pasti, saya berazam memberikan yang terbaik pada malam itu.

“Memang ramai yang menjangkakan potensi besar Bunga kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri dari segi melodi dan lirik. Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu, bimbang nanti ia mengganggu fokus,” katanya

Berita Harian X