Sabtu, 19 Januari 2019 | 2:43pm

Nora terima menantu

PUTRAJAYA: Anak sulung penyanyi, Nora Ariffin, Mohd Syakir Iman Johan, 26, selamat bergelar suami kepada pasangannya, Putri Eliya Sofea Azman, 22, dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Putra, di sini, jam 12.30 tengah hari tadi.

Mohd Syakir Iman atau lebih dikenali sebagai Mosyi dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Azman Ya'acob, di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abd Manaf Mat.

Pada majlis itu, Syakir yang pernah muncul dengan single berjudul Bulan menyerahkan wang hantaran RM20,000 dan mas kahwin sebanyak RM80 berserta lima dulang hantaran kepada pengantin perempuan, berbalas tujuh.

Mengulas pemilihan tarikh 19 Januari sebagai detik untuk disatukan dengan Sofea, Syakir berkata, selain mudah untuk diingati, tarikh berkenaan juga berdekatan dengan hari kelahirannya.

“Kebetulan tarikh lahir saya jatuh pada 16 Januari, jadi senang nak ingat nanti. Lagipun, angka 19119 sangat cantik,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, Nora dilihat mengalirkan air mata sebaik sahaja Syakir selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya.

Kata penyanyi Ada Dalam Tiada itu, hatinya tersentuh kerana terkenang arwah suami, Johan Nawawi, saat mereka sekeluarga berkongsi detik cukup bermakna berkenaan.

"Rasa sedih juga kerana arwah tidak dapat menyaksikan anak kami bergelar suami, hari ini. Ketika Syakir bertunang dulu, dia ada bersama.

“Dialah juga yang berpesan supaya jangan bertunang lama-lama. Apa pun, saya lega kerana amanat arwah untuk melihat Syakir dan Sofea bernikah awal terlaksana," ujarnya.

NORA bergambar bersama anaknya, Mohd Syakir Iman Johan dan isteri, Putri Eliya Sofea Azman pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Putra, tengah hari tadi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MOHD Syakir Iman Johan bersama isterinya, Putri Eliya Sofea Azman pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Putra, tengah hari tadi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X