Jumaat, 18 Januari 2019 | 5:31pm
APRENA memuat naik gambarnya bersama bapa, Iwan, di Instagram, baru-baru ini.
APRENA memuat naik gambarnya bersama bapa, Iwan, di Instagram, baru-baru ini.

'Papa tak lupa ingatkan saya solat lima waktu'

KUALA LUMPUR: Julung kali berkongsi gambarnya bersama bapa di laman Instagram, baru-baru ini, Aprena Manrose, tidak terlepas menerima komen netizen yang menguji kesabaran diri.

Kata pelakon itu, ada dalam kalangan pengikutnya yang tidak mengetahui dia anak kepada komposer dan penyanyi dangdut terkenal era 90-an, Iwan, dan aktres, Allahyarham Rosnah Mohd Noor.

Iwan, 57, bagaimanapun beralih ke genre nasyid sejak lebih sedekad lalu seiring dengan penghijrahan diri.

“Dalam banyak-banyak komen diterima, ada yang kelakar dan tidak kurang juga kata-kata pedas ditinggalkan netizen. Ada juga yang mengatakan, bapa warak tetapi anak pula sebaliknya, merujuk kepada diri saya yang belum bertudung.

“Saya tidak kisah jika netizen hendak bercakap soal keburukan diri ini, namun jangan sesekali sentuh perihal papa saya yang sudah berhijrah ke arah lebih baik. Perbandingan sebegitu bagi saya adalah sensitif.

“Saya cukup pantang apabila mereka bersikap demikian dan seolah-olah tiada rasa hormat terhadap papa yang lebih tua.

“Apa sahaja situasi, papa tetap bapa saya. Dalam soal berubah, saya pasti semua orang mahu menjadi insan lebih baik pada hari mendatang dan akan melakukan perubahan pada diri,” katanya kepada BH Online.

Kata adik kepada pelakon, Oktovia Manrose ini, pada peringkat awal pembabitan dalam seni, bapanya kurang bersetuju dengan kecenderungannya untuk berada dalam bidang terbabit.

“Memang pada awalnya papa tidak menggalakkan saya menjadi pelakon. Dia maklum mengenai permainan dan sepak terajang dunia seni. Namun, saya mengikut keinginan hati dan minat sejak kecil. Saya percaya, darah seni mengalir dalam tubuh ini juga adalah daripada papa dan arwah mama.

“Ketika mula menjadi artis dulu, saya jarang berkongsi mengenainya dengan papa. Kemudian, papa mula terbuka dan memberi sokongan dari jauh. Selepas melihat rezeki saya dalam seni, papa menerima hakikat anaknya juga mengikuti jejak langkahnya, suatu ketika dulu.

“Kini, jika kami bertemu, saya selalu juga bercerita dengannya mengenai ragam dunia seni. Malah, sebagai anak, saya turut berkongsi rezeki diperoleh daripada bidang ini dengannya,” katanya.

Merestui perjalanan seni Aprena, 25, Iwan bagaimanapun terus mengingatkan anaknya untuk mencari titik perubahan, sekali gus menjadi insan yang mampu mengimbangi antara duniawi dan syurgawi.

“Papa pernah melalui fasa kegemilangannya sebagai anak seni, suatu ketika dulu. Kemudian, dia mendapat hidayah untuk berubah. Namun, papa tidak cuba menghakimi dunia seni yang saya ceburi. Jauh di sudut hati, dia percaya setiap manusia akan berubah menjadi lebih baik suatu hari nanti.

“Jika berjumpa atau bermalam di rumah saya mahupun di kediamannya, papa pasti akan mengingatkan saya untuk menunaikan solat lima waktu. Dia juga akan memberikan tazkirah apabila kami berkumpul,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Afiq Hazman, pada November 2016.

Aprena mula membuka mata peminat dunia hiburan apabila diberi peluang menggalas watak utama dalam drama, Tiada Arah Jodoh Kita, bergandingan dengan Shukri Yahaya, tahun lalu.

Berita Harian X