Rabu, 16 Januari 2019 | 5:27pm
BLACK dan Tomok merancang merakamkan lagu raya bersama New Boyz. - Foto Rohanis Shukri
BLACK dan Tomok merancang merakamkan lagu raya bersama New Boyz. - Foto Rohanis Shukri

Black, Tomok rancang lagu raya dengan New Boyz

KUALA LUMPUR: Lima bulan sebelum tibanya Syawal, Black Hanifah dan teman baiknya, Tomok merancang merakamkan lagu istimewa sempena Aidilfitri.

Lebih istimewa, lagu itu akan menggabungkan semula Tomok bersama band lamanya, New Boyz.

Berkongsi cerita, Black berkata, projek lagu raya itu pasti membangkitkan nostalgia era kegemilangan New Boyz selain menjadi hadiah istimewa buat peminat.

“Saya baru berbincang dengan Tomok dan dia suka dengan idea itu.

“Tomok juga sudah berbincang dengan anggota New Boyz... Insya-Allah keputusan akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya kepada BH Online.

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 31, berkata projek merakamkan lagu raya itu dianggap menarik untuk diteroka bersama kumpulan New Boyz.

Dalam perkembangan lain, Black bakal tampil dengan single berkonsepkan ketuhanan sesuai dengan statusnya sebagai bapa.

“Kalau orang tanya, apa bakti saya kepada agama, sekurang-kurangnya saya ada lagu kerohanian.

“Sebelum ini, saya pernah menghasilkan lagu duet bersama Rabbani berjudul Dalam Aku dan Seruanmu. Lagu ini mengingatkan kita pada Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Black mengaku mula berminat menghasilkan lagu yang mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Saya juga yakin lagu seperti ini ramai orang suka, cuma saya tak pasti penerimaan peminat apabila saya menyanyikannya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai single ketuhanan itu, lagu itu mendapat sentuhan komposer, Omar K dengan lirik dihasilkannya sendiri.

Selain itu, Black merancang mengadakan dua konsert di ibu negara dan Singapura.

“Di Singapura, mungkin Tomok atau Hazama akan turut serta... Semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.

Berita Harian X