Selasa, 15 Januari 2019 | 6:42pm
PENYANYI, Ippo Hafiz, teruja apabila single baharunya, Saat Bahagia, mendapat sokongan peminat. - Foto IG Ippo Hafiz

Gimik gambar kahwin menjadi - Ippo Hafiz

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ippo Hafiz, mengakui masih ramai yang tertanya-tanya mengenai status dirinya gara-gara gambar promosi single baharu yang dimuat naik di akaun Instagram.

Menerusi gambar berkenaan, dirinya kelihatan segak menggayakan tuksedo di sisi seorang wanita yang mengenakan gaun labuh putih.

Foto romantis itu seolah-olah menunjukkan Ippo, 29, yang mendapat jolokan Raja Runut Bunyi dan wanita terbabit diraikan dalam majlis perkahwinan

Ippo atau nama penuhnya Muhammad Hafiz Yaziz berkata, gambar berserta bersama bait lagu itu adalah strategi pemasaran bagi memperkenalkan single terkini yang berjudul Saat Bahagia.

“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sudah mendirikan rumah tangga, sebaliknya sekadar memuat naik gambar dan lirik lagu. Apa yang penting, apabila pihak media bertanya, saya tidak berselindung mengenai promosi single terbaru itu.

“Tidak sangka, masih banyak pihak yang bertanya mengenai status diri ini dan mereka tak percaya saya belum berkahwin. Alhamdulillah, peminat memberikan sepenuh sokongan dan gimik gambar itu berjaya memberi sumbangan kepada jumlah tontonan video muzik lagu terbabit.

“Lagu Saat Bahagia yang dimuat naik kira-kira seminggu lalu sudah mencatat hampir 400,000 tontonan. Apatah lagi, apabila ia dijadikan runut bunyi bagi drama bersiri, Pujaan Hati Kanda, yang menampilkan Mira Filzah dan Remy Ishak selaku teraju utama,” katanya kepada BH Online.


ANTARA gambar romantis dikongsi Ippo di laman sosialnya bagi mempromosikan lagu baharu.

Kata Ippo, dia belum mempunyai calon untuk mengakhiri zaman bujang dan memilih untuk memberikan sepenuh fokus kepada kerjaya nyanyian sempena tahun baharu ini.

Sementara itu, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Kekal Bahagia ini memberitahu, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 30 kilogram (kg) dalam tempoh setahun dengan bantuan jurulatih peribadi.

“Peminat mula mengenali saya ketika tubuh masih berisi. Jadi, penampilan terbaru ini khas buat mereka. Setakat ini, saya berjaya mengurangkan 30 kg dan masih berbaki 14 kg sebelum mencapai berat badan ideal.

“Bukan usaha yang mudah untuk menurunkan berat badan. Selain badminton, saya juga aktif bermain futsal, bola sepak dan banyak lagi. Sekiranya sesiapa mempunyai kelapangan untuk bersukan, bolehlah ajak saya untuk turut serta,” kata Ippo.

Berita Harian X