Rabu, 2 Januari 2019 | 11:46am
EYRA dan Haziq rancang dirikan rumah tangga dalam tahun ini. Foto Instagram Eyra Hazali

Eyra sedia jadi isteri pada usia muda

KUALA LUMPUR: Pelakon yang popular menerusi drama Mr Grey, Eyra Hazali yakin, dia membuat keputusan tepat apabila memilih untuk menamatkan zaman gadis pada usia muda.

Eyra, 19, yang bertunang dengan penjaga gol skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli, 20, pada 1 Disember lalu percaya, mereka tidak terburu-buru apabila membuat keputusan itu.

“Memang ada yang menganggap saya masih muda untuk berumah tangga, tambahan pula kerjaya lakonan saya baru memuncak.

“Namun, saya dan tunang yakin kami membuat keputusan tepat. Soal pertemuan dan jodoh adalah rahsia Allah, siapa tahu rezeki kami akan lebih murah selepas bernikah nanti,” katanya.

Merancang untuk menamatkan zaman gadisnya dalam tahun ini, Eyra atau nama sebenarnya, Hazirah Qasdina Hazali akur, terpaksa menempuh perjalanan panjang sebelum namanya dikenali.

“Saya berlakon sejak 13 tahun lalu, namun hanya menyerlah selepas membintangi Mr Grey bersama Fendy Bakry.

“Ada sebab mengapa kami mengambil keputusan untuk bernikah muda, satu daripadanya kami tidak boleh berpisah jauh,” katanya.

Eyra berkata, mereka sudah mempunyai tarikh untuk disatukan, namun masih belum sedia berkongsi dengan umum.

“Persiapan hari bahagia kami sudah mula dibuat dan Alhamdulillah, setakat ini semua perancangan berjalan lancar.

“Tidak dinafikan, memang tertekan apabila membuat persiapan untuk memastikan semua yang dirancang menjadi kenyataan.

“Mujur keluarga banyak membantu dalam hal ini. Apabila kita berniat baik, pasti Allah akan membuka jalan untuk mempermudahkannya,” katanya.

Mewarisi bakat seni daripada bapanya iaitu pengarah drama, Hazali Ramli, Eyra pernah dinobatkan sebagai Pelakon Drama Televisyen (TV) Kanak-Kanak Terbaik, Anugerah Seri Angkasa pada 2010 menerusi telefilem, Anak-Anak Lorong ketika berusia 11 tahun.

Berita Harian X