Ahad, 30 Disember 2018 | 4:36pm
Ezlyyn kembali mengubati rindu peminat menerusi single terbaru, Goyang. - Ihsan IG Ezlynn
Ezlyyn kembali mengubati rindu peminat menerusi single terbaru, Goyang. - Ihsan IG Ezlynn

Ezlynn kembali Goyang

KUALA LUMPUR: Hampir enam tahun menyepi tanpa lagu terbaru, penantian Ezlynn untuk memanaskan kembali industri muzik berakhir apabila single Goyang menemui peminat.

Dirakamkan pada 13 Februari lalu, Ezlynn bersyukur, kemunculan single terbaru itu menjadi kenangan terindah sebelum 2018 menutup hari.

“Lagu ini mengambil sedikit masa menemui peminat kerana saya agak teliti mencari label yang sesuai untuk bernaung.

“Selepas lama tidak muncul, saya perlukan pasukan yang mantap untuk mengukuhkan kembali nama.

“Penantian itu terjawab apabila saya bernaung di bawah pengurusan Warner Music Malaysia.

“Alhamdulillah, penghujung 2018 meninggalkan detik paling manis untuk saya kenang apabila single ini menemui peminat,” katanya.

Dihasilkan pasangan suami isteri, Farique Nadzir dan Adah Kahir, penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye itu berkata, Goyang dipilih kerana ia sarat mesej positif.

Lagu yang menemui peminat di platform digital bermula 28 Disember lalu itu katanya, menyentuh mengenai revolusi diri, memperkasa wanita dan keamanan sejagat.

“Saya anggap lagu itu seperti biasan perjalanan hidup yang saya lalui. Pengalaman gagal dalam berumah tangga membentuk saya menjadi Ezlynn yang lebih kental dan berani.

“Biarpun sukar, saya perlu terus kuat mengharungi hidup dan memandang ke hadapan kerana banyak lagi cabaran yang bakal saya hadapi,” katanya.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, sebelum ini pernah popular dengan lagu seperti Pening, Jikalau Aku dan Sengsara.

Kali terakhir memperkenalkan lagu Dusta pada 2012, Goyang juga menyaksikan Ezlynn memilih genre Funk Ska sebagai taruhan.

“Farique adalah penyanyi dan komposer yang sering menghasilkan lagu untuk runut bunyi filem serta drama tempatan.

“Jika sebelum ini saya sinonim dengan lagu pop rock, Goyang pula agak berbeza kerana berkonsepkan Fun Ska, namun ia serasi jiwa saya,” katanya.

Berita Harian X