X
Rabu, 12 Disember 2018 | 3:48pm
KHAI dan Rosma bakal menimang cahaya mata ketiga pada April tahun depan. - Foto Zunnur Al Shafiq
KHAI dan Rosma bakal menimang cahaya mata ketiga pada April tahun depan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Rosma hamil, Khai alami alahan teruk

KUALA LUMPUR: Biarpun kerap demam dan hanya mampu terbaring, penyanyi Khai berkata, dia tidak kisah melalui dugaan itu asalkan isterinya, Rosma serta anak yang bakal dilahirkan sihat.

Khai atau nama sebenarnya, Mohammad Khairul Nizam Mohammad Wahi, 39, berkata, sebelum mengetahui Rosma hamil anak ketiga yang bakal dilahirkan pada April tahun depan, dia selalu mual dan muntah-muntah.

Mengenangkan simptom yang sama pernah dilaluinya ketika Rosma hamil anak sulung dan kedua mereka, dia mengajak isterinya membuat pemeriksaan kesihatan bersama-sama.

“Ketika bertemu doktor, Rosma sebenarnya sudah hamil dua bulan. Sebelum itu, saya selalu demam dan hanya terbaring, sedangkan selama ini saya aktif.

“Dugaan yang saya lalui kali ini agak teruk hingga Rosma selalu mengusik apabila melihat saya hanya terbaring.

“Alahan itu bagi saya umpama peringatan kerana ia membuatkan saya lebih menghargai pengorbanan isteri yang sanggup bertarung nyawa melahirkan zuriat kami,” katanya.

Khai mendirikan rumah tangga dengan Rosma yang juga teman seangkatannya ketika menyertai Akademi Fantasia musim pertama pada 2008.

Perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, 9, dan Nur Amani Damia Mohd, 4.

Sementara itu, Khai berkata, meskipun hamil lima bulan, isterinya tetap aktif, malah rajin ke dapur, selain memenuhi jadual persembahan.

“Dia memang tak boleh duduk diam, ada saja kerja yang dilakukannya. Hujung minggu kalau tiada tawaran persembahan, dia suka mencuba resipi baharu.

“Dalam keadaan berbadan dua, dia tetap menerima tawaran menyanyi kerana tidak selesa hanya berkurung di rumah. Dia suka berjalan.

“Lucu mengenangkan perangai peliknya ketika hamil. Alhamdulillah, sekarang saya sudah kembali bertenaga, cuma sesekali rasa mual itu datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjaya nyanyiannya yang semakin perlahan, Khai berkata, dia lebih selesa memberi laluan kepada Rosma untuk menyerlah.

Malah, sebagai tanda sokongan, Khai turut menjadi penerbit untuk memastikan kerjaya isteri tercinta berjalan lancar.

“Rosma ada melancarkan single baharu, Sumpah Setia karya Edry Abdul Halim dan saya menjadi penerbit.

“Biarlah isteri meneruskan minatnya, tetapi kalau ada undangan pentas, saya tetap terima untuk melepas geram,” katanya.

Berita Harian X