Sabtu, 8 Disember 2018 | 2:12pm
PELAKON dan penyanyi, Nadzmi Adhwa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON dan penyanyi, Nadzmi Adhwa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Nadzmi sedia terima jodoh dengan Ardell

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Nadzmi Adhwa, mengakui ramai peminat mahu melihat dirinya menaiki pelamin bersama teman baiknya sendiri, Ardell Aryana.

Tidak menolak jika takdir menentukan mereka dijodohkan bersama, Nadzmi, 26, bagaimanapun menegaskan masing-masing belum bersedia untuk melangkah ke fasa berkenaan.

"Saya dan Ardell belum bersedia untuk melangkah ke alam percintaan. Masing-masing tidak bersedia dan rasanya kami lebih selesa bersahabat buat waktu ini. Saya tahu, ramai yang mengatakan kami kelihatan sepadan dan manis jika bersama.

"Andai kata dijodohkan bersama, sudah tentu saya menerimanya. Siapalah saya untuk menolak takdir? Cuma, diakui saya menyayangi dirinya sebagai sahabat," katanya kepada BH Online.

ARDELL turut ditampilkan dalam lagu terbaru nyanyian Nadzmi, Wanitaku. - Foto Instagram Ardell Aryana
ARDELL turut ditampilkan dalam lagu terbaru nyanyian Nadzmi, Wanitaku. - Foto Instagram Ardell Aryana

Seperti diketahui ramai peminat, Nadzmi dan Ardell berkawan sejak beberapa tahun lalu dan mereka menjadi lebih akrab apabila aktres terbabit jatuh sakit. Nadzmi mendedahkan tahap kesihatan rakannya itu menerusi Instagramnya, pertengahan tahun ini.

Nadzmi juga kerap memuat naik video mesra bersama Ardell, membuatkan sebahagian peminat teringin melihat pasangan sahabat itu berkahwin.

Netizen turut menjangkakan kedua-dua pelakon ini akan disatukan sebagai suami isteri selepas menonton video muzik single terbaharu Nadzmi, Wanitaku, yang berkisar pada kisah persahabatan mereka.

Bercerita mengenai single terbabit, Nadzmi akui terkejut apabila sehingga kini, video yang dimuat naik pada 23 November lalu sudah pun ditonton lebih 1.3 juta kali. Ia sekali gus menjadi antara video sohor kini di laman YouTube.

"Jujurnya, saya tidak sangka single ini menjadi ‘trending’. Maklumlah, saya bukannya artis popular. Begitupun, tentu sahaja sambutan diberikan itu dirasakan berbaloi kerana bukan tugas mudah untuk menyiapkan lagu dan klip video ini.

"Istimewanya, Ardell turut ditampilkan dalam lagu terbabit. Saya sendiri sangat terharu kerana dia sanggup membantu saya walaupun dalam keadaan sakit. Saya pula memang tidak tahu untuk mencari orang lain... Cuma dirinya yang ada dalam fikiran saya.

"Lagu ini, pendek kata, mengisahkan persahabatan kami. Saya dan dirinya saling memerlukan ketika susah serta senang. Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas yang sangat baik," tuturnya.

Wanitaku ialah karya ciptaan sepenuhnya Aiman Sidek yang disusun semula daripada lagunya sebelum ini, Kamulah Wanita.

Berita Harian X