Jumaat, 7 Disember 2018 | 3:50pm
KHAI dan Rosma membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan gambar mereka oleh sebuah pengeluar produk pelangsingan badan. - Foto Instagram Khai
KHAI dan Rosma membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan gambar mereka oleh sebuah pengeluar produk pelangsingan badan. - Foto Instagram Khai

Salah guna gambar isteri, Khai buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi, Khai dan Rosma, membuat laporan polis terhadap pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan gambar mereka untuk tujuan melariskan produk.

Kata Khai, selain polis, syarikatnya juga mengajukan aduan sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta sebuah laman jualan atas talian bagi mengelakkan pengguna keliru dan tertipu.

“Kami dimaklumkan ada individu menggunakan gambar Rosma sebagai testimoni produk pelangsingan yang tidak diketahui kandungannya, selain tidak mempunyai sijil daripada kementerian berkaitan.

“Bagi mengelakkan orang ramai terkeliru atau tertipu, kami perlu membersihkan nama, memandangkan produk keluaran kami juga dijual menerusi laman jualan sama.

“Kita tidak mahu nanti andai apa-apa terjadi, syarikat dan produk kami menjadi mangsa. Pada masa sama, kami mahu melindungi pengguna,” katanya.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim pertama (AF1) itu berkata, mereka mengesan perbuatan pihak terbabit beberapa bulan lalu, namun tidak dapat menemui pengusahanya berikutan tiada nombor telefon yang sahih.

“Mereka bukan hanya menggunakan platform jualan dalam talian, malah gambar Rosma turut terpampang di laman sosial sebagai promosi pihak terbabit.

“Apabila dihubungi, semua nombor tertera tidak berjawab dan kami yakin ia dilakukan ‘scammer’ yang cuba mengambil kesempatan atas jenama produk lain.

“Sepanjang empat tahun mengusahakan perniagaan, inilah antara kes paling teruk kami hadapi. Ramai ejen dan pelanggan merujuk kepada kami semula untuk mendapatkan pengesahan.

“Sudahlah tiada sebarang perincian bahan kandungan, mereka menjualnya pada harga tidak masuk akal, iaitu sekitar RM10 sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, mengenai kerjaya seni yang semakin perlahan, Khai atau nama penuhnya Mohammad Khairul Nizam Mohammad Wahi, 39, mengakui lebih selesa menguruskan perniagaan.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, dia tidak kisah andai isterinya yang lebih ke depan di arena nyanyian disebabkan jiwa Rosma lebih kepada seni muzik.

Malah, Khai memberikan dorongan dengan bertindak sebagai penerbit lagu sahaja, sekali gus menjadi tanda sokongan terhadap perkembangan kerjaya insan tercinta.

“Rosma melancarkan single baharu berjudul Sumpah Setia karya Edry Abdul Halim, penghujung tahun lalu. Saya sendiri bertindak selaku penerbit dan kiranya, promosi lagu itu masih berjalan sampai sekarang.

“Bagi saya, biarlah isteri meneruskan minatnya, tetapi saya tetap terima kalau ada undangan pentas dihulurkan. Kata orang, sekadar lepas geram,” ulasnya lagi yang bakal menimang cahaya mata ketiga, April tahun depan.

Berita Harian X