Selasa, 4 Disember 2018 | 6:27pm
DJ Dave nekad membantu insan seni memerlukan menerusi YKAT. Foto: Mahzir Mat Isa
DJ Dave nekad membantu insan seni memerlukan menerusi YKAT. Foto: Mahzir Mat Isa

DJ Dave didik artis beringat menerusi YKAT

KUALA LUMPUR: Insiden kematian seorang insan seni popular yang meninggalkan anak isteri tanpa wang untuk urusan pengebumian mencetuskan ilham kepada Datuk DJ Dave menubuhkan sebuah yayasan.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) itu berkata, walaupun sudah 10 tahun berlalu, peristiwa sedih itu membuatkan dia bertekad membantu mereka yang memerlukan.

“Balu artis itu memaklumkan, mereka tiada wang untuk menguruskan pengebumian suaminya. Ia sangat menyedihkan apabila perkara seperti itu menimpa waris yang ditinggalkan.

“Momen itu membuatkan saya terfikir untuk mewujudkan sebuah yayasan bagi menjaga kebajikan artis supaya boleh bantu menyelesaikan masalah membabitkan penggiat seni.

“Insiden itu juga mengajar saya berusaha menyedarkan artis supaya menyimpan dan membuat persediaan sebelum meninggal dunia dengan memperkenalkan program Khairat Kematian YKAT,” katanya.

Dave berkata, kempen Khairat Kematian YKAT yang direalisasikan itu menjadi antara agenda penting yayasan terbabit.

Katanya, program yang sama pernah diperkenalkan beberapa tahun lalu, namun belum ramai penggiat seni termasuk kru di balik tabir mengambil peluang itu.

“Khairat kematian yang diperkenalkan itu belum diterima dengan begitu meluas dan rakan artis menjadi kelompok sasaran utama.

“Kami harap, pelancaran semula program itu pada Jumaat ini akan disertai anak seni, sekali gus membuatkan mereka faham kepentingan caruman ini,” katanya mengenai skim kerjasama dengan Darul Jenazah itu.

Program pelancaran dan Penjenamaan Semula Khairat Kematian YKAT akan diadakan di Hotel Tune, Kuala Lumpur pada 7 Disember ini, jam 2 petang.

Pada majlis itu, pencarum hanya perlu membayar yuran tahunan RM100 untuk menikmati pelbagai faedah khairat kematian.

Antaranya bantuan pengebumian RM1,500, upah Badal Haji, wang khairat RM3,000 kepada pewaris, RM10,000 kepada pewaris (jika meninggal kerana kemalangan), pencen keilatan hingga RM10,000 (jika cacat separa) dan keseluruhan pakej yang bernilai RM6,000.

Bukan sekadar penyanyi atau pelakon, program itu turut diperluaskan kepada penggiat industri hiburan termasuk seniman jalanan dan kru layak mencarum.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X