Ahad, 2 Disember 2018 | 3:07pm
KONSERT Syantik Bersama Siti Badriah yang sepatutnya diadakan di ibu negara, Sabtu ini ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan. - Foto IG Siti Badriah
KONSERT Syantik Bersama Siti Badriah yang sepatutnya diadakan di ibu negara, Sabtu ini ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan. - Foto IG Siti Badriah

Siti Badriah tak jadi datang KL

KUALA LUMPUR: Tinggal enam hari lagi, namun Konsert Syantik Bersama Siti Badriah yang sepatutnya berlangsung di Kenanga Wholesale City Mall di sini, Sabtu ini, ditunda.

Wakil penganjur konsert itu, Suasana Enak Sdn Bhd memberitahu, persembahan penyanyi dangdut Indonesia yang mencetuskan fenomena dengan lagu Lagi Syantik itu terpaksa ditukar ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Penganjur ingin memohon maaf kerana terpaksa menunda Konsert Syantik Bersama Siti Badriah yang sepatutnya diadakan, Sabtu ini.

“Konsert terpaksa ditunda kepada tarikh baharu atas nasihat pihak tertentu. Kami harap peminat tidak kecewa berikutan pindaan yang tidak dapat dielakkan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Suasana Enak turut mengesahkan peminat yang sudah membeli tiket konsert boleh menghubungi penganjur untuk mendapatkan semula wang.

“Pembeli tiket tidak perlu gusar kerana wang mereka akan dikembalikan. Kami menjual tiket berharga RM68 dan RM88 menerusi muat turun aplikasi TicketApps daripada App Store atau Google Play,” katanya.

Siti Badriah yang berusia 27 tahun, ‘meledak’ selepas single Lagi Syantik yang dimuat naik di YouTube sejak Mac lalu, mencecah lebih 400 juta tontonan.

Berita Harian X