Jumaat, 23 November 2018 | 10:14am
JOE masih mencari vokalis untuk menggantikan Aweera dalam Prime Domestic. - Foto Nurul Shafina Jemenon
JOE masih mencari vokalis untuk menggantikan Aweera dalam Prime Domestic. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pastinya bukan bakat program realiti - Joe

KUALA LUMPUR: Pemain gitar utama Prime Domestic, Joe tidak berhasrat mengambil penyanyi yang dilahirkan daripada program realiti sebagai pengganti bekas vokalis kumpulan itu, Aweera.

Belajar daripada pengalaman lalu, Joe atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 49, berkata keputusan itu dibuat kerana mereka sukar memahami pergerakan sebagai artis berkumpulan.

“Saya tidak berniat memperkecilkan keupayaan mereka, namun penyanyi yang lahir daripada program realiti lambat berkembang.

“Saya tidak anggap pemilihan Aweera dulu sebagai kesilapan kerana dia juga mempunyai kelebihan tersendiri. Cuma, kali ini saya mencari penyanyi yang faham fungsi sebagai artis berkumpulan,” katanya.

Ditemui pada sidang media showcase solonya, The Best Of Joe Exclusive Show, di sini, bekas anggota kumpulan Wings itu berkata, dia masih belum menemui calon pengganti bersesuaian sejak Aweera meninggalkan Prime Domestic, Ogos lalu.

Joe berkata, dia mencari penyanyi yang berdisiplin, mempunyai daya ketahanan dan tidak mudah panik untuk meneruskan perjuangan bersama Prime Domestic.

Dia juga memaklumkan, Prime Domestic yang turut dibarisi Ainol dan Rozaimi tidak berhasrat merakamkan semula lagu yang pernah diterbitkan ketika bersama Aweera sekiranya menemui vokalis baharu.

“Kami sebaliknya, akan tampil dengan karya baharu. Saya akur, mungkin ramai yang akan mentertawakan kami kerana masalah yang timbul, tetapi saya tidak ambil peduli.

“Saya pernah menempuh dugaan yang lebih hebat, jadi saya tiada masalah jika ada orang yang akan bersorak. Saya tidak perlu ambil tahu perkara itu,” katanya.

Selain Aweera, kumpulan yang popular dengan single, Sedingin Pluto itu turut kehilangan pemain gitar, Hillary Ang dan Fauzi (bass) yang meninggalkan kumpulan itu.

Menyentuh persembahan showcase The Best of Joe Exclusive Showcase yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe, Jalan Sultan Ismail pada 9 Disember ini, Joe berkata, dia akan menampilkan

bekas vokalis kumpulan Electric 5, Zul sebagai penyanyi.

“Saya perlukan penyanyi berpengalaman dan tahu bagaimana pergerakan sesebuah kumpulan ketika di pentas.

Kriteria itu ada pada Zul.

“Seandainya nanti diserap masuk menyertai Prime Domestic, saya tidak akan menghalangnya untuk terus beraksi solo di kelab.

“Pengalaman itu penting untuk membantu dia mempertingkatkan lagi mutu vokal,” katanya.

Berita Harian X