Khamis, 15 November 2018 | 4:28pm
PELAKON, Nur Fazura Sharifuddin (tengah) bersama Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong (kiri) dan Pengurus Besar Sime Darby Property, Appolo Leong hadir pada sidang media mengumumkan Konsert Elmina Lakeside anjuran Sime Darby Property dengan kerjasama Universal Music Malaysia di Shah Alam. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PELAKON, Nur Fazura Sharifuddin (tengah) bersama Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong (kiri) dan Pengurus Besar Sime Darby Property, Appolo Leong hadir pada sidang media mengumumkan Konsert Elmina Lakeside anjuran Sime Darby Property dengan kerjasama Universal Music Malaysia di Shah Alam. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Hentilah fitnah kami - Nur Fazura

SHAH ALAM: Pelakon Nur Fazura Sharifuddin mendakwa ada cubaan pihak tertentu memporak-perandakan rumah tangganya melalui akaun media sosial palsu menggunakan identiti dirinya dan suami, Fattah Amin.

Mendedahkan perkara itu, Fazura, 35, berkata akaun palsu itu digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan kekeliruan dan melaga-lagakan dirinya dengan Fattah melalui aktiviti yang dijalankan.

“Mula-mula mereka mewujudkan akaun Instagram palsu Fattah.

“Berdasarkan maklumat yang diberi peminat, akaun itu dilihat melakukan aktiviti yang menimbulkan kekeliruan dan bercanggah dengan rutin Fattah seperti yang dikongsi dalam media sosialnya.

“Apabila saya dapat tahu, akaun itu dipadam. Kemudian mereka mencipta akaun palsu saya pula.

“Melalui akaun itu, pihak terbabit cuba menyamar menjadi saya dengan menulis komen berbaur negatif di media sosial milik selebriti lain yang bukan dalam senarai yang saya ikuti,” katanya kepada BH Online.

Fazura berkata demikian ketika ditanya mengenai isu wujudnya akaun palsu dirinya dan Fattah seperti yang dimuat naik di IG Story, baru-baru ini.

Tidak terkesan dengan provokasi pihak yang memfitnah, Fazura bagaimanapun menyarankan dalang insiden itu memberi fokus kepada artis yang lebih diminati.

“Saya dan suami sudah memaafkan mereka... Tak perlulah hendak fitnah kami lagi selepas ini.

“Lebih baik fokus kepada artis yang mereka minat, bukan kami," kata pemegang trofi Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, baru-baru ini.

Terdahulu, Fazura menghadiri sidang media mengumumkan Konsert Elmina Lakeside anjuran Sime Darby Property dengan kerjasama Universal Music Malaysia, di sini.

Pada konsert itu, Fazura bakal berkongsi pentas dengan bekas anggota kumpulan Westlife, Shane Filan dan seorang lagi artis yang masih dirahsiakan namanya.

Konsert dan karnival mini itu akan diadakan di kawasan perumahan, City of Almina, di sini, pada 19 Januari depan.

Berita Harian X