Rabu, 14 November 2018 | 11:43pm
PERSEMBAHAN Kumpulan Guns N Roses di Sunway Lagoon. - Foto ASYRAF HAMZAH

Lupa hujan demi GNR

SUBANG JAYA: Hujan lebat tidak mematahkan semangat lebih 20,000 peminat tegar Gun N' Roses (GNR) untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Konsert GNR Not In This Lifetime di Surf Beach Sunway Lagoon di sini, malam tadi.

Tepat jam 8.40 malam, pantai buatan ini

bertukar sebagai gelanggang eksklusif gabungan semula tunjang asal kumpulan rock lagenda itu selepas hampir tiga dekad memilih haluan sendiri.

Sorakan bergema sebaik tiga figura yang dianggap pengubah landskap muzik rock dunia iaitu AXL Rose (penyanyi), Slash (pemain gitar) dan Duff McKagan (bes) muncul di pentas apatah lagi sudah dua tahun peminat Malaysia menunggu kedatangan barisan lengkap itu.

SEBAHAGIAN peminat yang hadir menyaksikan pesembahan Kumpulan Guns N Roses. - Foto ASYRAF HAMZAH

Lagu It's So Easy, Mr Brownstone dan Chinese Democracy dipilih sebagai pemanas persembahan sekali gus menghangatkan suasana yang diiringi titisan hujan lebat sejak jam 6 petang lagi.

Tanpa berceloteh panjang, AXL yang berbaju T hitam tertera gambar wanita diacu rantai bersatu dengan Slash di tengah ruang seterusnya mengekalkan momentum aksi mereka menerusi Welcome To The Jungle.

Selain Axl, 56; Slash, 52, dan Duff, 54; GNR Not In This Lifetime Tour turut dirancakkan iringin muzik pemain keyboard, Dizzy Reed, Richard Fortus (gitar), Frank Ferrer (dram) dan Melissa Resse (keyboard).

Kehadiran kumpulan itu memang ditunggu-tunggu sejak mereka mengumumkan penggabungan semula di West Hollywood pada 1 April 2016 yang disusuli misi jelajah dunia.

GNR Not In This Lifetime dimulakan di seluruh Amerika Utara sebelum ke benua lain hingga akhirnya tahun lalu mereka hanya sampai setakat di Singapura.

Kali ini, sebelum beraksi di sini, GNR singgah di Jakarta, Indonesia serta Manila, Filipina sebelum melengkapkan jadual jelajah Asia di Taiwan dan Hong Kong.

Hampir 30 dendangan diperdengarkan termasuk November Rain daripada album Use You Illusion I yang diterbitkan pada 1991 selain Better, Estranged, Rocket Queen, Live and Let Die, You Could Be Mine, This I Love, Civil War dan Sweet Child O' Mine.

Knockin' on Heaven's Door menjadi antara seleksi wajib penutup persembahan.

Terdahulu, Slash yang dianggap sebagai pemetik 'riff' terhebat pernah mengadakan konsert solo di lokasi sama pada 2015. GNR pula muncul di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kira-kira lima tahun lalu, namun ketika itu hanya Axl tampil sebagai anggota asal.

Berita Harian X