Ahad, 11 November 2018 | 12:16am
SUFIAN Suhaimi - Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
SUFIAN Suhaimi - Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

'Jangan gosip saya bercinta dengan Nabila Razali pula'

Oleh Farihad Shalla Mahmud

farihad@bh.com.my

SHAH ALAM: Sufian Suhami yang bakal muncul dengan lagu duet bersama Nabila Razali berharap tiada gosip yang timbul kononnya dia bercinta dengan penyanyi Pematah Hati itu.

Malah, tegas penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu itu, lagu berunsur cinta yang bakal dinyanyikan mereka bukan memberi petanda atau ada kaitan dengan masa lalunya.

“Sudah tiba masanya untuk semua pihak akur dengan kenyataan tidak semua gandingan itu mempunyai makna di sebaliknya. Kolaborasi saya dengan Nabila adalah atas paksi profesional dan tiada kaitan dengan cinta.

“Lagu yang kami nyanyikan juga tidak memberi apa-apa gambaran atau ada kesinambungan dengan kisah silam saya.

“Jujurnya, saya sangat teruja dengan kerjasama ini dan tak sabar hendak mendengar hasil paduan suara kami,” katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan berkaitan, pemegang ijazah sarjana dalam bidang komunikasi massa ini memberitahu, penggambaran video muzik single itu bakal dilakukan di beberapa lokasi menarik di Sabah.

“Saya sangat bertuah kerana penggambaran video muzik ini mendapat tajaan Lembaga Pelancongan Sabah.

“Saya difahamkan konsep video muzik ini akan sama seperti klip video lagu Gerua yang dipetik dari filem Diwale. Jadi banyaklah lokasi menarik yang bakal dipaparkan,” katanya sambil menambah kos pembikinan video muzik itu paling tinggi pernah dilaburkan.

Kelmarin, Sufian bersama 10 penyanyi lain beraksi pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 33 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk menentukan siapa yang layak bergelar finalis Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33), tahun depan.

Berita Harian X