Selasa, 6 November 2018 | 11:18am
PASANGAN anak dan ayah ini mencuri perhatian netizen apabila lagu Pok Pet tular. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PASANGAN anak dan ayah ini mencuri perhatian netizen apabila lagu Pok Pet tular. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Dayyan nyanyi sampai akhir tahun

KUALA LUMPUR: Penyanyi Black memberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk anaknya, Khaleef Dayyan mengiringi persembahannya di pentas mendendangkan lagu Pok Pet.

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 31, memberitahu keputusan itu dibuat disebabkan Dayyan bakal bersekolah mulai awal tahun depan, bukan kerana bimbang dengan kecaman netizen.

"Lagipun, Dayyan bukan selalu ikut saya buat persembahan. Semuanya bergantung kepada mood, kalau baik, dia akan ikut saya menyanyi.

"Saya beri tempoh sehingga akhir bulan depan untuk dia mengikut saya menyanyi. Ini kerana mulai Januari 2019, Dayyan sudah mula belajar di sebuah sekolah antarabangsa, jadi kenalah fokus.

"Bukan saya nak halang minatnya, mungkin saya akan masukkan dia ke kelas muzik kerana Dayyan memang menunjukkan minat ke arah itu," katanya kepada BH Online.

Tambah Black, sebelum membawa anaknya menyanyi bersama dalam mana-mana persembahan yang dijayakan, dia meminta izin isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira.

"Cira juga ada pesan, kalau bawa anak menyanyi untuk persembahan berbayar, saya perlu memberi bayaran kepada Dayyan sebagai simpanan masa depan," ujar bekas juara Mentor musim ketiga ini.

Ahad lalu, penyanyi yang popular menerusi lagu Anugerah Terindah ini menjayakan konsert minggu pertama Mentor 7 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Berita Harian X