Isnin, 5 November 2018 | 7:44pm
Wany terima kritikan peminat sebagai perangsang untuk dirinya membuktikan keupayaan. - Foto IG Wany Hasrita

'Saya bukan artis tin kosong'

KUALA LUMPUR: Meraih pengiktirafan tertinggi dalam tempoh singkat membuatkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Wany Hasrita diburu ramai termasuk mereka yang menganggap dia tidak layak merangkul trofi berkenaan.

Tenang berdepan reaksi begitu, Wany atau nama penuhnya, Nursyazwany Hasrita Hasbullah, 26, menganggap setiap cemuhan yang menghentam jiwa menjadi penguat semangat untuk membuktikan dirinya artis berbakat.

“Jujurnya, saya tidak menyalahkan netizen yang mempertikaikan kemenangan saya. Mungkin mereka belum melihat kelebihan yang ada pada diri saya, sebaliknya hanya bersandarkan pada sebuah lagu popular, Menahan Rindu.

“Bagaimanapun, siapa saya mahu menolak pilihan peminat? Saya tidak minta diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 31 secepat ini.

“Harapan saya masih jauh lagi untuk menggapai pengiktirafan tertinggi ini, tetapi itulah kuasa undian dan pilihan peminat. Layak atau tidak layak, biarlah masa yang menentukannya.

“Saya tidak mahu terus hidup dalam gangguan emosi. Pengiktirafan yang saya terima dianggap satu cabaran besar untuk membuktikan saya bukannya ‘tin kosong’,” katanya kepada BH Online.

Jauh di sudut hati, Wany mengaku pernah terfikir benarkah suaranya tidak sedap didengar atau sumbang.

“Mungkin ada yang tidak suka suara saya menyanyi lagu mendayu dan dilihat kekampungan. Bagaimanapun, saya percaya setiap pendengar mempunyai cita rasa mereka tersendiri. Saya pula tidak mampu memenuhi keinginan semua orang.

“Jadi, tiada guna saya hidup dalam tekanan. Saya mahu terus melangkah tanpa menoleh cemuhan yang mematahkan semangat dan meranapkan jiwa saya,” katanya yang mengikuti kelas vokal bersama guru vokal, Syafiq Erwin, seminggu sekali.

Baru-baru ini, ketika masih ada suara yang mempertikaikan kejayaannya, Wany dikatakan menutup akaun Instagramnya. Namun, tindakan itu hanya untuk sehari.

Lulusan Sarjana Muda Sains Perubatan dari Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam, itu berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak mengaktifkan laman sosial terbabit bukan kerana tidak tahan dengan cemuhan yang diterima.

Sebaliknya, ada pihak yang dikatakan cuba menggodam laman Instagramnya sejurus selepas dia menggenggam trofi berkenaan.

“Apabila menerima amaran akaun Instagram saya seperti mahu digodam, saya terpaksa menukar kata kunci dan e-mel. Daripada kena godam, saya fikir lebih baik saya menutup sementara akaun Instagram ini.

“Bagaimanapun, ada yang menganggap saya tidak tahan dicemuh pula. Hingga kini, saya tidak pernah menutup ruangan komen dalam laman sosial.

“Saya terbuka menerima setiap kritikan dan cemuhan. Saya baca dan hadam kata-kata peminat, biarpun tidak membalasnya. Kutuklah sepuas hati, jangan sampai dapat dosa kering,” katanya.

Wany berkata, dia tidak nafikan ada menyekat berpuluh-puluh peminat yang dirasakan bersikap biadap terhadap dirinya.

Walaupun dia tidak kisah dicaci dan dimaki, namun tentunya Wany tidak terlepas daripada berasa sebak apabila ada yang dikira bertindak melampau dengan mengaitkan orang tuanya yang konon tidak pandai menjaga anak.

“Kenapa mahu menyalahkan ibu bapa saya yang tidak berdosa? Kadang kala, saya tersentuh dengan komen yang mencaci maki saya tanpa sebab.

“Saya ralat, tetapi dalam masa yang sama, saya kasihan dengan netizen yang sesuka hati melontarkan kata-kata nista yang buruk untuk didengar,” katanya.

Akuinya, dia percaya seseorang sukar mengeluarkan perkataan caci maki jika dibesarkan dalam keluarga dan didikan agama yang baik.

“Jika dipupuk dengan baik, seseorang tentunya menjaga akhlak dan tutur kata. Sejak kecil, saya tidak diajar melemparkan caci maki walaupun sepatah ayat.

“Saya kasihan melihat netizen yang kurang kasih sayang dan tidak menerima didikan sebaiknya dalam hidup ini,” katanya yang menerima hadiah kemenangan ABPBH 31 iaitu kereta Citroen C4 Picasso L2 bernilai kira-kira RM126,000, minggu lalu.

Berita Harian X