SHAH ALAM: Dua protege masing-masing daripada kumpulan Datuk Syafinaz Selamat dan Aizat Amdan diumumkan finalis pada konsert minggu pertama, Mentor 7 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.
Protege Syafinaz yang terpilih adalah Ranisha atau nama penuhnya, Farranisha Shazwany Mohd Faizul, 18, dan Lazarul atau Lazarul Afiezy Zakaria, 28.
Protege Aizat pula Faizul Ashraf atau Faizul Ashraf Fauzi, 24, dan Megat atau Mohd Adzuan Mazlan, 25.
Peserta yang mengucapkan selamat tinggal adalah Faris Malek atau Mohd Faris Arif Malek, 26, iaitu protege kepada Aizat. Turut terhenti perjalanannya dalam program realiti itu adalah protege Syafinaz, Aznona atau Rasmawatie Mohd Thamrin, 23.



Persembahan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan undian dibuka selepas semua protege membuat persembahan.
Permarkahan adaah berdasarkan penilaian juri tetap sebanyak 50 peratus, undian menerusi laman web www.xtra.com.my (30 peratus) dan juri awam (20 peratus).
Mentor 7 diterajui Nana Mahazan dan Shuk Sahar sebagai pengacara manakala Sarancak pula mengendalikan segmen di belakang tabir.
Minggu depan, dua lagi mentor, Siti Nordiana dan Hafiz Suip akan memilih dua peserta terbaik daripada tiga bakat baharu yang bersaing menjadi protege mereka.