Rabu, 31 Oktober 2018 | 6:46pm
PELAKON, Datuk Hans Isaac, pada sidang akhbar pengumuman 12 finalis Dewi Remaja 2018/19 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Hans antara calon Pengerusi FINAS

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac, mengesahkan dirinya antara calon yang disenarai pendek bagi merebut jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menurut Hans, 47, beliau menjalani temu duga bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, lebih sebulan lalu.

"Memang saya ada bertemu Menteri beberapa kali berhubung jawatan terbabit. Buat masa ini, belum ada keputusan rasmi daripada pihak kementerian.

"Sebagai calon, saya sememangnya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

“Bagi saya, anak seni layak untuk memegang jawatan itu. Saya pula terbabit secara langsung dan faham sepak terajang industri perfileman tanah air," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Finalis Dewi Remaja 2018/2019, di sini hari ini.

Kata Hans, beliau mengemukakan 15 manifesto membabitkan perancangannya kepada Menteri jika dipilih menyandang jawatan berkenaan.

"Antara perkara utama saya akan tekankan adalah penjagaan kebajikan penggiat industri seperti kontrak, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) dan insurans, selain mengubah dasar sedia ada.

"Saya tahu, kerusi ini memang panas di FINAS, namun saya tak kisah. Sebagai orang yang pernah melalui pelbagai kesukaran, saya faham masalah anak seni. Justeru, saya mahu membuat perubahan jika diberi peluang," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, pelakon filem Buli Balik ini mencabar mana-mana pihak yang mempersoalkan kredibilitinya menjawat jawatan itu supaya bersemuka dengannya.

"Jika ada yang mempertikaikan kelayakan saya untuk memegang jawatan berkenaan, sila jumpa saya sendiri. Saya juga nak tahu apa sumbangan mereka selama ini?" katanya.

Berita Harian X