Rabu, 31 Oktober 2018 | 5:55pm
PELAKON dan pengacara, Neelofa. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Apa motif dia buat begitu? - Neelofa

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Neelofa, tidak pasti motif sebenar seorang lelaki berkongsi senarai 10 individu berpengaruh di Malaysia yang didakwa memiliki pengikut palsu paling ramai di laman sosial Instagram.

Menerusi perkongsian di Twitter itu, nama Neelofa berada pada kedudukan teratas dengan dakwaan memiliki lebih sejuta pengikut palsu.

Turut disenaraikan ialah anak pasangan artis, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen, Yusuf Iskandar, Nora Danish, Mira Filzah, Uqasha Senrose, Amyra Rosli dan Zizan Razak.

Menurut Neelofa, dia menyedari mengenai penyebaran senarai terbabit, namun kurang pasti niat sebenar lelaki berkenaan berbuat demikian.

“Apabila dia menggunakan terma pengikut palsu, ramai yang mula beranggapan lain. Kenapa perlu dia berbuat begitu? Ia membuatkan ada orang salah faham apabila mereka ingat saya membeli pengikut di Instagram.

“Sebetulnya, dia patut menggunakan terma ‘bad followers’ atau mereka yang mengikut sekadar untuk menghentam. Mereka tidak ubah seperti ‘haters’ (pembenci).

“Daripada saya didakwa kononnya membeli lebih sejuta pengikut palsu, lebih baik saya beli 10 juta,” kata Neelofa berseloroh.

Neelofa yang juga ahli perniagaan terkenal mendakwa, dia memang mengetahui serba sedikit identiti lelaki terbabit.

“Lelaki itu adalah kawan kepada kawan kakak saya. Saya difahamkan, dia individu yang sepatutnya diundang ke sebuah program TV bagi membincangkan topik mengenai perkara berkaitan pengikut di laman sosial,” katanya.

Berita Harian X