Selasa, 30 Oktober 2018 | 9:37am
AIMAN tidak kecewa lagu nyanyiannya gagal membolosi Separuh Akhir Muzik Muzik 33. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Ada hikmahnya apabila tak layak'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aiman Tino, mengakui ada hikmahnya apabila lagu terbarunya, Sesat Dalam Rindu, gagal membolosi Separuh Akhir Muzik Muzik 33.

Aiman atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri, 20, berkata, kesempatan itu memberinya ruang untuk berehat selepas mengalami masalah tonsil sejak enam bulan lalu.

“Saya pernah menjejakkan kaki di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 31, malah tahun lalu, lagu saya turut dipertandingkan pada peringkat Separuh Akhir.

“Apabila rezeki tidak berpihak pada tahun ini, saya tidak kecewa. Dalam keadaan vokal yang masih belum pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan bulan lalu, saya perlu berehat.

“Bimbang pula jika terlalu memaksa, suara saya akan menjadi semakin teruk. Ia tidak baik untuk prestasi vokal saya,” katanya.

Aiman berkata, tidak cukup rehat antara faktor yang menjejaskan kesihatannya. Disebabkan itu, dia sanggup menolak beberapa undangan persembahan kerana tidak mahu masalah itu berlarutan.

“Saya terpaksa mengurangkan aktiviti persembahan untuk merehatkan vokal yang masih lagi dalam pemantauan doktor.

“Minggu depan saya akan kembali bertemu doktor untuk melihat perkembangannya. Sebelum ini, doktor ada mengesan beberapa bintik atau ulser di kotak suara saya,” katanya.

Aiman yang ditemui pada sidang media Lazada 11.11 Shopping Festival dan Lazada 11.11 Super Show berkata, dia akan muncul dengan single terbaru yang bakal menemui peminat akhir bulan depan.

“Ia mungkin lagu jiwang terakhir yang saya rakamkan kerana saya berhasrat untuk ke genre R&B untuk mencari sisi baharu sebagai penyanyi,” katanya.

Konsert Super Show 11.11 menampilkan barisan penyanyi seperti Khai Bahar, Bunkface, Wany Hasrita, Ziana Zain, Ella, Ayda Jebat dan Haqiem Rusli bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 November ini.

Berita Harian X