X
Khamis, 18 Oktober 2018 | 2:21pm
ZIZAN semakin dikenali di Indonesia selepas filem lakonannya mendapat sambutan peminat negara itu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ZIZAN semakin dikenali di Indonesia selepas filem lakonannya mendapat sambutan peminat negara itu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Biar di sini dulu - Zizan Razak

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zizan Razak tidak ralat menumpukan fokus terhadap produksi tempatan, meskipun menerima banyak lamaran penerbit Indonesia sejak filem lakonannya, Peluang Ke Duda ditayangkan, baru-baru ini.

Akui Zizan, sejak filem terbitan syarikat produksi milik pelakon dan pengacara popular, Raffi Ahmad itu ditayangkan, penonton di sana mula mengenali nama serta wajahnya.

Pemilik nama, Razizan Abdul Razak, 34 itu berkata, penonton termasuk media Indonesia mula mendekatinya untuk mewawancara dan bergambar selepas sesi tayangan perdana filem itu selesai.

“Filem itu mula ditayangkan awal bulan ini. Ketika diundang memeriahkan acara pada malam gala, tiada siapa yang menyedari kehadiran saya.

“Namun, selepas tamat tayangan, mereka mula mengejar, malah ada yang perasan pernah menonton lakonan saya dalam KL Zombie dan KL Gangster.

“Selepas pulang ke tanah air, saya menerima beberapa tawaran, tetapi perlu berada di Jakarta untuk tempoh yang lama. Perkara itu membuatkan saya perlu berfikir panjang sebelum memberikan kata persetujuan,” katanya.

Zizan yang ditemui pada majlis pelancaran filem Polis Evo 2, baru-baru ini berkata, selepas membuat pertimbangan, dia mahu memberikan dahulu tumpuan kepada tugasan yang sudah dipersetujui lebih awal.

Selain Zizan, Polis Evo 2 yang bakal ditayangkan bermula 22 November ini turut membariskan Shaheizy Sam, Erra Fazira, Hairul Azreen dan pelakon Indonesia, Raline Shah.

Dia berkata, filem aksi itu agak mencabar bukan disebabkan memerlukan stamina tinggi, sebaliknya apabila digandingkan dengan nama hebat seperti Hasnul Rahmat dan Syafie Naswip

“Saya agak berdebar apabila digandingkan dengan pelakon seperti Hasnul dan Syafie yang mempunyai reputasi tinggi dalam kalangan penggiat seni.

“Kedua-dua pelakon itu mempunyai cara tersendiri setiap kali beraksi di lokasi penggambaran, sekali gus menyuntik semangat saya untuk memberikan hasil kerja setanding mereka,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X