Rabu, 17 Oktober 2018 | 2:20pm
 DJ Dave (tengah) bersama penerima sumbangan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air sempena sambutan Deepavali 2018. - Foto Mahzir Mat Isa
DJ Dave (tengah) bersama penerima sumbangan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air sempena sambutan Deepavali 2018. - Foto Mahzir Mat Isa

Lancar semula Program Khairat tarik pencarum

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) akan melancarkan semula Program Khairat yang pernah diperkenalkan tiga tahun dahulu bagi menyuntik kesedaran kepada penggiat industri hiburan.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, hingga kini hanya kira-kira 500 penggiat seni yang mengambil peluang menyertai skim ini dan diharap pelancaran semula program itu dapat menarik lebih ramai pencarum.

“Program Khairat ini dibuka kepada semua penggiat seni pelbagai lapangan, bukan hanya artis, malah pekerja industri hiburan dan pengamal media.

“Ia menyediakan dua pakej untuk pencarum berusia 18 hingga 69 tahun, membabitkan individu Muslim dan bukan Muslim.

“Ahli hanya perlu membayar RM100 setahun, namun manfaatnya sangat besar kepada pencarum dan waris,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Deepavali berjumlah RM32,000 kepada 16 artis.

Dave berkata, untuk pencarum beragama Islam, skim itu memberi bantuan pengurusan jenazah lengkap bernilai RM1,500 pada hari kematian sekiranya diuruskan waris, selain wang khairat RM3,000 diserahkan dalam tempoh 30 hari atau upah haji percuma.

Bagi pencarum bukan beragama Islam, Khairat YKAT memberi bantuan wang tunai RM1,500 pada hari kematian, sagu hati RM4,500 (dalam masa 30 hari selepas penerimaan salinan sijil kematian dan salinan kad pengenalan).

Jelasnya lagi, manfaat lain di bawah program sama turut menawarkan pampasan kematian akibat kemalangan bernilai RM10,000.

Sementara itu, berkenaan sumbangan musim perayaan yang sudah menjadi tradisi YKAT, ia turut diberikan kepada penerima yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Majlis sama turut menyaksikan YKAT menyampaikan sumbangan kepada keluarga komposer Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang meninggal dunia pada 25 September lalu akibat serangan jantung.

Sementara itu, kata DJ Dave lagi, Program Khairat yang dijadualkan dilancarkan semula bulan depan bakal diadakan dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Berita Harian X