Isnin, 15 Oktober 2018 | 12:09pm
FARAH Nabilah pernah lalui keperitan untuk mencipta nama sebagai pelakon. - Foto Aziah Azmee

Pernah dibayar RM80

KUALA LUMPUR: Farah Nabilah yang melakar kejayaan manis apabila diangkat sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 lalu enggan mempersiakan peluang yang sedang terbentang luas.

Bermula dengan watak tempelan menerusi drama, Mak Pengantin Tak Popular pada 2011, Farah, 26, hanya meraih peluang membawa watak utama pada 2015 menerusi drama, Inikah Cinta. Namun, namanya hanya menyerlah selepas membintangi Titian Cinta bersama Zul Ariffin, tahun lalu.

Mengenangkan liku perjalanannya sebelum berada di zon yang boleh dianggap selesa, Farah atau nama lengkapnya, Farah Nabilah Saipuddin berkata, langkahnya bermula dengan kepahitan.

“Saya pernah menjadi pelakon tempelan dan tidak dibayar. Pernah juga saya dihulurkan RM80 untuk kerja yang dilakukan dari pagi hingga malam. Apabila menonton drama itu, wajah saya langsung tidak keluar. Ketika itu, saya tidak kisah dibayar ‘ciput’.

“Saya tidak mengenali sesiapa dalam industri dan ahli keluarga juga tiada yang berminat menjadi pelakon. Saya terpaksa bekerja keras selama lebih tiga tahun untuk menempatkan diri. Alhamdulillah, usaha yang tidak pernah mengenal erti lelah pastinya akhirnya membuahkan hasil," katanya.

Ketika hatinya puas apabila mampu menggenggam dua anugerah dalam masa yang singkat, terbit juga kebimbangan dalam diri wanita cantik ini. Akui Farah, dia belum menganggap dirinya dalam zon selesa.

"Saya tidak mahu dianggap netizen tidak layak menerima anugerah kerana melakukan kerja sambil lewa. Tanggapan itu sedikit sebanyak pasti memberi kesan di hati. Saya harus membuktikan hasil kerja dan lakonan saya layak diiktiraf.

"Saya tidak mahu lagi bersandarkan kepada popular semata-mata, sebaliknya perlu memastikan hasil kerja berkualiti," katanya yang akan terbang ke Eropah selama sebulan untuk menjalani penggambaran telefilem dan program pengembaraan, pertengahan bulan ini.

Anak sulung daripada enam beradik itu juga bimbang jika mudah lupa diri apabila namanya mula disanjung.

Disebabkan itu katanya, dia sentiasa menjaga tindak-tanduk dan batas pergaulan supaya tidak dicemuh masyarakat.

“Saya sering berpesan kepada ibu, tegurlah jika saya nampak semakin berubah. Keluarga memang melepaskan saya, tetapi jika keterlaluan, mereka menarik semula. Mungkin kerana itu, saya masih lagi tinggal bersama keluarga.

“Saya takut diuji ketika berada di puncak. Sekurang-kurangnya, saya masih ada keluarga untuk menasihati jika tersalah langkah," katanya.

Berita Harian X