Selasa, 9 Oktober 2018 | 2:46pm
FENDY memenangi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 31. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Fendy hampir 'terlepas peluang' julang trofi

KUALA LUMPUR: Keputusannya untuk hadir ke malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Ahad lalu, nyata meninggalkan kenangan cukup manis buat pelakon, Fendy Bakry.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu menyaksikan dirinya diumumkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular.

Ia adalah trofi sulung bagi jejaka berasal dari Perlis itu, dalam bidang seni.

“Memang pada awalnya saya terikat dengan penggambaran drama arahan Yusry Abdul Halim berjudul Kan Ku Kejar Cinta Kamu, naskhah adaptasi daripada novel nukilan Fauziah Ashaari. Dalam drama terbabit, saya bergandingan dengan Amyra Rosli.

“Pada hari acara kemuncak ABPBH 31 diadakan, pada asalnya saya memang tidak mendapat pelepasan daripada pihak produksi untuk sama-sama memeriahkan majlis kerana perlu mengikut jadual artis lain.

“Bagaimanapun, hendak dijadikan cerita, penggambaran membabitkan watak lakonan saya boleh dipercepatkan. Saya kemudian diberikan pelepasan, kira-kira jam 4 petang. Berikutan itu saya membuat keputusan untuk datang juga ke malam kemuncak ABPBH 31 pada saat akhir,” kata Fendy kepada BH Online.

Kata pelakon yang mencipta nama menerusi drama, Mr Grey, terbitan Global Station itu, dia cukup teruja apabila dapat sama-sama memeriahkan ABPBH 31 buat kali pertama.


FENDY meraikan kejayaan bersama teman seperjuangan yang juga berasal dari Perlis, Khai Bahar.

“Selepas saya dan pihak pengurusan memaklumkan kepada penganjur, kami terus melakukan persiapan dengan mencari baju pada minit-minit akhir.

“Saya pula datang ke acara berkenaan tanpa sebarang jangkaan. Jadi, memang saya tidak sangka apabila nama melekat sebagai calon Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular. Apatah lagi untuk menang. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi saya malam itu.

“Saya sebenarnya datang ke PICC dengan niat memberikan sokongan kepada acara terbabit, selain ingin berjumpa dengan teman seperjuangan. Biasanya, pada majlis sebegitu barulah kami dapat berkumpul,” katanya.

Kejayaan berkenaan menjadi pembakar semangat buat Fendy untuk terus berkongsi bakat anugerah Tuhan bersama masyarakat.

“Anugerah ini jadi titik tolak untuk saya terus bersemangat meneruskan perjuangan dalam dunia seni. Saya pernah diuji dengan masalah kesihatan sebelum ini. Saya reda dan perlu kuat.

“Drama Mr Grey nyata membuka ruang lebih luas untuk saya melangkah dalam arena lakonan. Pada masa sama, saya tentunya berhutang budi kepada penyokong dan kelab peminat, Fendynisme, yang sentiasa berada di belakang saya selama ini,” katanya.

245 dibaca
Berita Harian X