Jumaat, 5 Oktober 2018 | 2:47pm
BOB Lokman kehilangan anak sulung pagi tadi. - Foto Mahzir Mat Isa
BOB Lokman kehilangan anak sulung pagi tadi. - Foto Mahzir Mat Isa
ANAK sulung Bob Lokman, Mohamad Adam menghembuskan nafas terakhir jam 1 pagi tadi. - Foto Facebook Bob Lokman
ANAK sulung Bob Lokman, Mohamad Adam menghembuskan nafas terakhir jam 1 pagi tadi. - Foto Facebook Bob Lokman

Bob Lokman kehilangan anak sulung

KUALA LUMPUR: Anak sulung pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman, Mohamad Adam, 25, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Sungai Buloh, dekat sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Difahamkan, Allahyarham rebah di beranda kediaman keluarganya di Saujana Akasia sebelum disahkan meninggal dunia.

Berita sedih itu dikongsi Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 54, menerusi laman Facebook miliknya.

“Memaklumkan anak sulung saya, Mohamad Adam baru saja kembali ke rahmatullah,” tulisnya.

Mohamad Adam sebelum ini mempunyai sejarah ketumbuhan dalam otak, namun sudah menjalani pembedahan ketika berusia lapan tahun. Kesan daripada penyakitnya itu membuatkan arwah kerap pengsan.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Al-Hikmah, Kuang dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 20 selepas solat Jumaat.

Sementara itu, menerusi laman Instagram, pelakon Adam Hamid berkata, arwah dikenali sebagai anak yang baik kerana sering menjaga ayahnya ketika terlantar sakit.

“Adam sangat baik, menjaga abang Bob ketika terlantar sakit. Arwah umpama tangan kanan yang tidak pernah berpisah dengan ayahnya.

"Masih terbayang-bayang senyum dan ketawa kecilnya menyuap makanan kepada ayahnya di hospital. Mereka berdua terlalu rapat," katanya.

Terdahulu, arwah kerap menemani Bob yang mempunyai masalah jantung kerap berulang-alik ke Pusat Perubatan UiTM Sungai Buloh untuk menjalani pemeriksaan.

Berita Harian X