Rabu, 3 Oktober 2018 | 6:45pm
ALIF bersyukur bakatnya masih dipercayai selepas 12 tahun membina nama. - Foto Salhani Ibrahim

'Tiada sebab saya nak merajuk'

KUALA LUMPUR: Kegagalan meraih sebarang kemenangan pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, tahun lalu tidak sesekali membuatkan bakat serba boleh, Alif Satar terkilan atau berputus asa.

Alif sebaliknya menjadikan kegagalan itu sebagai pemacu untuk melipatgandakan usaha dan memberikan yang terbaik kerana anugerah atau pengiktirafan bukan perkara utama apabila dia memilih menjadi insan seni.

“Saya tidak terkilan atau ralat apabila langsung tidak menang, meskipun menerima pencalonan terbanyak pada edisi ABPBH lalu. Merajuk apatah lagi kerana saya percaya kepada rezeki yang diberikan Allah SWT.

“Saya seronok dengan kerjaya ini, malah sejak awal pembabitan, saya di sini untuk menghiburkan ramai dan memberi inspirasi kepada orang lain. Apa yang penting adalah peminat yang menjadi nyawa saya.

“Tewas bukan bermakna tidak bagus, sebaliknya ia menjadi motivasi untuk saya bekerja lebih keras sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan. Menang itu bonus, namun saya tidak terlalu mengharap,” katanya.

Pengacara program realiti, Big Stage itu berkata, dia bersyukur selepas 12 tahun bermula dengan menyertai One In A Million, bakatnya terus dipercayai apabila diberi peluang mencuba pelbagai cabang dalam kerjaya seni.

“Dahulu, saya ingat hanya akan menjadi penyanyi kerana ia cinta pertama. Tetapi, Allah melimpahkan pelbagai rezeki apabila saya diberi peluang untuk berlakon dan mengacara.

“Apabila usaha saya dilihat dan diiktiraf, saya berazam untuk terus berbakti dengan memastikan setiap kerja yang dilakukan meninggalkan impak di hati penonton.

“Rasanya lebih puas apabila kerja kita diakui dan dipercayai ramai. Memadai jika nyanyian, lakonan dan cara saya mengendalikan sesebuah program membekas di hati penonton. Itu puncak kejayaan saya yang sebenar,” katanya.

Pada ABPBH 31 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini, bapa kepada dua cahaya mata, Alisha Anugerah dan Ariana Mecca itu bersaing dalam senarai awal empat kategori utama iaitu Penyanyi Lelaki Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan Pengacara TV Popular.

Menerusi kategori online, Alif mempertaruhkan kekuatan gandingannya bersama Neelofa dalam drama, Red Velvet untuk Gandingan Serasi Drama.

21 dibaca
Berita Harian X