Ahad, 30 September 2018 | 2:20pm
SYAFIQ tiada masalah menangani kerenah peminat fanatik. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SYAFIQ tiada masalah menangani kerenah peminat fanatik. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Jangan sampai mahu 'miliki' kami'

KUALA LUMPUR: Pelakon Syafiq Kyle menasihatkan peminat supaya tidak terlalu taasub mengaguminya kerana bimbang memikirkan amanah besar itu, selain tidak mampu meramal masa depannya.

Mengakui ada sesetengah peminat yang begitu fanatik, Syafiq, 26, berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan mereka, namun baginya, ia perlu ada batasan.

“Peminat fanatik ini memberi warna kepada perjalanan kerjaya seni saya, malah saya bertuah kerana ada kelompok penggemar yang setia mengikuti perkembangan diri.

“Namun, minat itu harus berpada-pada, malah mereka juga perlu bijak mengawal diri. Jangan terlalu fanatik hingga menganggap seseorang artis itu ‘milik’ mereka,” katanya.

Bersaing dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 yang mendekati kemuncaknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober ini, Syafiq berkata,

dia terharu melihat kesungguhan peminatnya mengundi.

Kesungguhan mereka itu membuatkan Syafiq bimbang tidak mampu untuk membalas jasa yang dicurahkan peminatnya.

“Saya jadi takut sebenarnya. Mereka tidak dibayar untuk mengundi, namun begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh memastikan saya berada dalam Top 5. Secara jujur, saya agak risau memikirkan harapan mereka.

“Memang saya ada menjayakan beberapa program bersama peminat, tetapi ia dibuat bukan untuk meraih undi. Sekalipun tiada produk baharu, saya akan luangkan masa sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka.

“Alhamdulillah, ketika ini bakat saya mendapat perhatian peminat. Apabila nanti ditakdirkan saya tidak lagi berada di puncak, saya boleh berpuas hati kerana pernah menghargai segala usaha mereka,” katanya.

Ditanya mengenai ramalan ramai yang melihat bintangnya agak cerah untuk meraih kejayaan pada kemuncak ABPBH 31 ekoran populariti drama, Nur, Syafiq bagaimanapun, enggan terlalu yakin.

“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan ketika ini. Bukan mahu ‘poyo’, tetapi saya tidak tahu apa akan berlaku nanti. Saya suka melihat cara Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi maklum balas terhadap setiap kemenangannya.

“Walaupun sudah menang banyak trofi, sikapnya tetap sama. Caranya itu memberi inspirasi saya untuk saya menjadi sepertinya,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X