Ahad, 16 September 2018 | 2:20pm
LIZA sedang hamil lima bulan anak kelima. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Tetap menyanyi walaupun sarat hamil

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Liza Hanim memberi jaminan kerjaya nyanyian masih menjadi keutamaan dan akan tetap diteruskan, meskipun kini sedang hamil anak kelima.

Justeru, kata Liza atau nama lengkapnya, Haliza Hanim Abdul Halim, 38 peminatnya tidak perlu risau akan kehilangannya seperti yang pernah berlaku setiap kali selepas dia melahirkan cahaya mata.

“Sebelum ini, selepas saya bersalin, tumpuan saya adalah untuk anak yang baru lahir. Selepas memutuskan untuk kembali memeriahkan dunia seni, saya hanya akan berehat ketika berpantang sahaja. Selepas itu, saya akan kembali menyanyi.

“Mengikut jadual, saya masih menerima undangan menyanyi hingga akhir tahun. Memandangkan ini adalah anak yang kelima, saya tidak mahu terlalu manjakan diri.

“Impian saya, kalau ada rezeki lagu Mimpi memasuki senarai separuh akhir Muzik-Muzik, saya mahu menyanyikan lagu itu sendiri biarpun ketika itu, kandungan saya sedang sarat,” katanya yang hamil lima bulan.

Ditanya mengapa baru sekarang dia bersedia untuk berkongsi berita gembira itu, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Getaran Cinta Di Jiwa ini berkata, keputusan itu dibuat selepas memastikan keadaan kandungannya benar-benar stabil.

“Bukan saya cuba berahsia, sebaliknya berita kehamilan ini agak mengejutkan kerana saya dan suami tidak merancang untuk menambah ahli keluarga dalam masa terdekat. Tetapi, itulah yang dinamakan rezeki. Hanya apabila kandungan betul-betul stabil, baru saya sedia untuk berkongsi berita itu.

“Lagipun, pada peringkat awal kehamilan, saya mengalami pendarahan. Kejadian itu berlaku tiga jam sebelum konsert Dua Diva yang diadakan di Singapura, Julai lalu bermula. Ketika itu, saya memang panik. Saya tawakal sahaja dan mujur tidak berlaku kejadian yang tak diingini,” katanya.

Terdahulu, Liza menjayakan Konsert Semalam Di Malaya bersama-sama Aishah, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo. Konsert yang diadakan di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas, di sini itu menyaksikan Liza beraksi diiringi pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose.

Berita Harian X