X
Khamis, 16 Ogos 2018 | 7:17pm
KUGIRAN Masdo bakal tampil dalam konsert bersama Hujan di Serdang pada 6 Oktober depan. - Foto Aziah Azmee
KUGIRAN Masdo bakal tampil dalam konsert bersama Hujan di Serdang pada 6 Oktober depan. - Foto Aziah Azmee

Masdo tangguh rakam lagu di London

KUALA LUMPUR: Hasrat kugiran Masdo untuk merakamkan single terbaru di kota London terpaksa ditangguhkan atas faktor kewangan.

Menurut vokalis kumpulan itu, Ali, perancangan asal mereka untuk mengutip pengalaman merakamkan lagu di Abbey Road Studios, bulan ini, kini ditunda ke November depan.

“Mengikut perancangan awal, kami berhasrat untuk berada di sana selama seminggu. Bagaimanapun, buat waktu ini kos diperlukan untuk berbuat demikian belum mencukupi. Insya-Allah, jika diizinkan Tuhan, pada November depan kami akan terbang ke sana jika semua urusan dipermudahkan.

“Sukar untuk kami menggambarkan keterujaan masing-masing apabila dijemput ke London bagi merakamkan lagu. Begitupun, banyak aspek perlu diambil kira sebelum perancangan itu berhasil.

“Kami turut mendapat bantuan daripada AG Coco dan kumpulan Hujan sebagai persiapan untuk membuat rakaman di sana. Kebetulan, pemain dram kami juga adalah anggota Hujan,” kata Ali.

Selain dirinya yang turut bermain gitar, kumpulan yang memperjuangkan genre pop Melayu era 1960-an itu juga dianggotai oleh Azham Ahmad selaku pemain dram, Putu Ceri (bes/vokal) dan Asmawi (gitar/vokal).

Ali berkongsi perkembangan terbabit ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama media sempena Konsert Hujan X Masdo yang bakal berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor, pada 6 Oktober depan.

Bercerita mengenai konsert membabitkan dua kumpulan itu pula Ali berkata, persembahan berskala besar berkenaan bakal menampilkan konsep ‘battle of the bands’.

“Pada konsert itu nanti, kami turut menyelitkan segmen penghargaan khas buat kumpulan ‘indie’ tempatan.

“Kami ingin menyajikan sesuatu yang tidak dapat dijangka oleh penonton, bersesuaian dengan jumlah wang dilaburkan mereka bagi membeli tiket,” katanya.

Ketika ini, tiket Rock Zone berharga RM200 yang membolehkan peminat beramah mesra bersama kedua-dua kumpulan itu sudah habis dijual.

Maklumat lanjut mengenai konsert dan jualan tiket boleh didapati dengan melayari ilassotickets.com atau menghubungi talian 03-21706333 dan 010-3837552.

Berita Harian X