Rabu, 1 Ogos 2018 | 3:25pm
ZUl Ariffin dikatakan rapat dengan pelakon kelahiran Ukraine. - Foto Saifulizan Tamadi

Memang saya kenal wanita itu - Zul Ariffin

PETALING JAYA: "Saya kenal wanita dalam gambar itu, tetapi dia hanya kenalan biasa," itu reaksi yang diberikan pelakon, Zul Ariffin ketika mengulas mengenai beberapa foto mengaitkannya dengan seorang wanita Ukraine di laman sosial, baru-baru ini.

Menurut Zul, 31, wanita yang difahamkan juga seorang pelakon mula dikenalinya ketika bercuti di Phuket, Thailand.

"Saya mengenalinya ketika bercuti di Phuket, baru-baru ini. Kebetulan kami sama-sama menjalani latihan seni mempertahankan diri Muay Thai di sana. Dia hanya kenalan dan saya melayaninya sama seperti orang lain.

"Kalau boleh, saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini kerana tahu jawapan saya tetap tidak akan memuaskan hati semua pihak. Orang boleh mengandaikan apa sahaja dan terpulang kepada mereka.

"Saya tetap akan mengunci mulut. Bagi saya, biar masa yang akan menjawabnya," kata Zul ketika ditemui pada majlis pratonton filem, Hantu Kak Limah, di sini, malam tadi.

Dalam filem genre seram komedi arahan Mamat Khalid itu, Zul memegang watak sebagai bomoh bernama Solihin.

Mengenai ukiran tatu yang memaparkan nama Zul di jari manis wanita itu, aktor berbadan sasa terbabit mengakui terkejut dengan tindakan rakannya itu.

"Saya memang tidak menjangka dan tindakannya itu benar-benar menghairankan saya. Saya tidak boleh komen banyak kerana itu bukan tatu sebenar, sebaliknya hanya inai," kata bekas kekasih pelakon, Zahirah MacWilson itu.

Berita Harian X