Ahad, 29 Julai 2018 | 11:59am
ISTERI Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Raghad Kurdi Taib memakaikan tiara ke atas Pemenang Anugerah Ratu Telenovela Serba Dinamik, Emma Maembong pada Anugerah Telenovela 2018 di Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Berkat doa ayah'

KUALA LUMPUR: Meraih trofi Ratu Telenovela Serba Dinamik buat kali kedua, Emma Maembong menganggap kejayaannya itu berkat doa ayah, Ismail Maembong.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Embong, 26, tidak menduga memenangi trofi itu selepas menghadiahkan ayah sebuah kereta sempena ulang tahun kelahirannya.

"Alhamdulillah.. saya anggap kemenangan ini atas doa ayah buat anaknya. Kebetulan, saya baru menghadiahkan ayah sebuah kereta selepas menyimpan impian itu sejak beberapa tahun lalu.

"Saya berhajat membelikan kereta apabila kenderaan ayah sering rosak termasuk ketika kami hendak pulang beraya di Terengganu, tahun lalu. Cuma, ketika itu, wang simpanan saya belum cukup.

"Saya sama sekali tidak menyangka kemenangan ini kerana saingan hebat-hebat belaka. Mungkin juga rezeki berpihak lagi kepada saya," katanya kepada BH Online.

Selain trofi Ratu Telenovela Serba Dinamik, Emma turut memenangi anugerah Pelakon Serba Dinamik dan Komited 2018 melalui drama Awak Suka Saya Tak dan filem Kimchi Untuk Awak.

Emma berkata, kemenangan itu membakar semangatnya untuk memperbaiki kelemahan lakonan sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam bidang seni.

"Saya berharap kemenangan ini dapat membuka lebih banyak peluang dalam bidang lakonan. Malah, saya teringin mencuba pelbagai watak lebih serius.

"Kalau boleh, saya ingin mencuba watak aksi dan antagonis kerana belum pernah menerima tawaran begitu," katanya.

Anugerah Telenovela 2018 diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Acara itu menyaksikan pasangan pelakon, Fattah Amin dan isterinya, Nur Fazura membolot semua trofi kategori popular.

Dua karya lakonan mereka iaitu drama atau telenovela, Hero Seorang Cinderella dan telefilem, Wanita Terindah mengungguli kategori Novel Popular (dimenangi novel Wanita Terindah), Telenovela Popular dan Telefilem Popular.

Fattah dan Fazura juga membolot anugerah Pelakon Lelaki Telenovela Popular, Pelakon Wanita Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Telefilem Popular dan Pelakon Wanita Telefilem Popular.

Sebanyak 43 kategori dipertandingkan pada acara itu membabitkan 32 drama atau telenovela, empat telefilem dan lima filem popular yang diangkat daripada novel atau karya dibukukan.

Berita Harian X