Jumaat, 27 Julai 2018 | 3:09pm
STATUS solo Hans sering dijadikan bahan gurauan Awie dan Afdlin. - Foto Supian Ahmad
STATUS solo Hans sering dijadikan bahan gurauan Awie dan Afdlin. - Foto Supian Ahmad

Sepatutnya Hans pilih Erra jadi isteri - Awie

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie menggamatkan Baik Punya Concert 4D apabila mengeluarkan kenyataan rakannya, Datuk Hans Isaac sepatutnya memilih aktres terkenal , Erra Fazira sebagai isteri.

Kenyataan Awie ketika ditanya Datuk Afdlin Shauki dalam satu segmen konsert itu, mengundang sorakan dan jeritan penonton yang teruja dengan jawapan selamba diberikan vokalis kumpulan Wings itu.

"Dalam ramai bekas teman wanita yang pernah menjalin hubungan dengannya, saya rasa dia patut berkahwin dengan Erra," katanya ketika konsert pembukaan di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini malam tadi.

Konsert berdurasi 90 minit itu turut menampilkan seorang lagi artis, Datuk AC Mizal.

Sebelum ini, Hans dan Erra pernah dikaitkan menjalin cinta, namun hubungan mereka tidak berpanjangan.

Sebagai satu-satunya lelaki yang masih bujang, Hans sering disakat, malah statusnya itu turut menjadi bahan jenaka tiga rakan baiknya sepanjang konsert itu berlangsung.

Baik Punya Concert 4D bukan sahaja menonjolkan nyanyian, sebaliknya turut menampilkan naratif mengenai perjalanan hidup empat sahabat itu yang dipersembahkan menerusi -sketsa pendek. Persembahan masih diteruskan malam ini dan esok.

Berita Harian X