Sabtu, 21 Julai 2018 | 10:57pm
Sakinah memuat naik kenyataan meminta orang luar yang tidak tahu kehidupan peribadinya agar tidak mengganggu privasinya. - Foto IG Sharifah Sakinah

'BF saya bukan suami Sakinah'

KUALA LUMPUR: Tiba-tiba laman sembang kecoh dengan dakwaan kononnya suami pelakon, Sharifah Sakinah menjalin hubungan dengan seorang gadis yang juga pengguna Instagram.

Tampil menegakkan kebenaran, wanita terbabit yang terkejut dirinya terpalit dalam kontroversi itu, mendakwa kekasihnya bukan Aliff Adha, iaitu suami Sakinah.

"Disebabkan isu ini sudah tular, saya perlu dedahkan kekasih sebenar saya.

"Iya, kekasih saya bukan suami dia (Sakinah) atau milik siapa-siapa.

"Saya tak tahu macam mana orang boleh kata wajah mereka sama. Isu ini membuatkan saya tertekan kerana saya memang tidak buat (bercinta dengan suami orang)," katanya meluahkan perasaan pada entri di Instagram.

Wanita terbabit mendakwa, selama ini, dia tidak suka berkongsi kisah mengenai kekasihnya.

"Saya tak suka orang tahu siapa dia, kerja apa atau anak siapa. Lagi saya tunjuk, lagi buat orang nak tahu mengenai kekasih atau keluarga dia dan akan bercerita lagi.

"Disebabkan itulah saya tak tunjuk... Tolong faham," pintanya.

Semalam, Sakinah, 29, memuat naik paparan skrin mesej peribadi yang diterima daripada seorang individu yang mendakwa suaminya bersikap curang melalui aplikasi IG Story.

Bintang telefilem Biniku Dari Neraka itu turut memberi amaran kepada individu terbabit serta orang luar agar tidak mencampuri urusan rumah tangganya.

"Perhatian kepada orang luar yang tidak tahu mengenai kehidupan rumah tangga saya, dengan rasa penuh hormat tolong berambus.

"Kami tidak perlukan perhatian atau tuduhan tidak berasas dalam kehidupan peribadi saya... Siapa anda pelik gila," katanya.

Sakinah berang apabila individu terbabit menuduh suaminya mempunyai hubungan dengan seorang gadis malah turut melayangkan foto gadis berkenaan.

Sakinah dan Aliff yang juga juruterbang, mendirikan rumah tangga pada 2015. Mereka dikurniakan seorang anak, Anais, yang berusia setahun.

Berita Harian X