X
Jumaat, 13 Julai 2018 | 12:34pm
KUMPULAN Radja. - Foto Nik Hariff Hassan
KUMPULAN Radja. - Foto Nik Hariff Hassan

Konsert Radja tunda atau batal?

KUALA LUMPUR: Mula-mula ditunda kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbaru Konsert Radja Malaikat Cinta yang sepatutnya diadakan di sini, malam esok, ditangguhkan lagi.

Mencetuskan kontroversi, tindakan penganjur mengumumkan penangguhan konsert band terkenal Indonesia itu pada saat-saat akhir, mendatangkan masalah dan kemarahan peminat.

Ini kerana dikatakan ada peminat sudah menempah tiket penerbangan dan penginapan mengikut tarikh asal, bagi menyaksikan band kegemaran mereka beraksi di KWC Mall Kuala Lumpur, di sini.

Dalam kenyataan yang dikongsi di laman jualan tiket, penganjur konsert, Belbis Sdn Bhd memberi alasan faktor jualan tiket yang kurang memberangsangkan menjadi punca keputusan menangguhkan acara itu diambil.

Ketua Eksekutifnya, Afandy Alias berkata, pihaknya kesal konsert menampilkan Radja terpaksa ditangguhkan kepada tarikh yang belum dapat ditentukan lagi.

"Konsert ditunda atas sebab jualan tiket yang sangat tidak menggalakkan. Sehubungan itu, kami meminta pihak Redtix membuat pengumuman penangguhan konsert di semua media.

"Mereka juga diminta menghentikan penjualan tiket dan semua bentuk promosi. Proses pemulangan wang tiket kepada pembeli jika mereka mahu menuntut bayaran, sudah dimulakan," katanya.

Kenyataan itu dimuat naik di laman jualan tiket itu, tengah hari semalam.

Semakan BH Online mendapati, walaupun penganjur menyatakan penundaan konsert itu mendapat persetujuan Radja, namun keputusan dibuat pada saat-saat akhir apabila tiket masih dijual di laman web itu.

Malah, band yang kali terakhir mengadakan konsert mega di Kuala Lumpur pada 2006 itu, berkongsi rakaman video sesi latihan pada akaun Instagram mereka.

Menimbulkan lagi tanda tanya, Radja dan syarikat pengurusan mereka mengumumkan awal pagi tadi, konsert band itu dibatalkan. Ini berbeza dengan kenyataan diberikan penganjur. Band itu turut meminta maaf atas keputusan dibuat.

Melalui permohonan maaf yang dibuat pada jam 1 pagi itu, Radja turut menjelaskan peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu bimbang kerana wang mereka akan dikembalikan.

Sebelum ini, Radja merancang mengadakan konsert pada 5 Mei lalu. Namun, tarikh itu dipinda malam esok, bagi membolehkan rakyat mengundi pada PRU-14 yang diadakan 9 Mei lalu.

Berita Harian X