Khamis, 12 Julai 2018 | 4:25pm
Foto sampul album Hari Raya 1,001 Bintang yang menampilkan Mas Omar dan artis pujaan ramai ketika itu.

Mas Omar, isteri sakit

KUALA LUMPUR: Diserang angin ahmar kali kedua, Disember lalu, penyanyi era 1980-an dan bekas pengurus artis ternama, Mas Omar, 62, kini sukar bergerak dan daya ingatan merosot.

Pada masa sama, isteri Mas Omar, Sawiah Ali, 61, berdepan masalah kesihatan apabila kedua-dua kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis.

Mas Omar yang cukup dikenali dalam kalangan artis dan penggiat industri hiburan, banyak bergantung kepada anak-anak untuk bergerak dan mengurus diri.

Anaknya, Mas Sazley, 43, memberitahu, pergerakan otot bahagian kiri ayahnya lemah selepas serangan ahmar kali kedua berpunca salur darah pada bahagian kiri otak pecah.

"Ketika kali pertama diserang angin ahmar, doktor mengesan darah beku pada bahagian kanan otaknya. Ayah dimasukkan ke wad kira-kira dua minggu disusuli sesi fisioterapi.

"Kejadian kedua berulang akhir tahun lalu... Kali ini agak teruk kerana salur darah pecah. Pergerakannya masih perlu dibantu dan kadang kala ingatan ayah merosot," katanya kepada BH Online.

Mas Omas yang beralih kerjaya sebagai promoter persembahan dan pengurus artis, pernah merakamkan album kompilasi 1,000 Bintang Berhari Raya terbitan Suria Records, kira-kira 20 tahun lalu.

Sepanjang pembabitan dalam industri muzik, Mas Omar pernah bertugas di Syarikat Nawab Productions sebagai eksekutif promosi selain menjadi Pengurus Artis Bahagian Melayu di syarikat rakaman, BMG dan Pengarah Promosi di Suria Records.

Mas Omar kemudian dilantik Ketua Promosi Artis Bahagian Melayu EMI sebelum mengusahakan syarikat produksi, Zasyaz Production dan Masa Entertainment & Productions.

Mas Sazley berkata, ayahnya sudah tidak mampu bekerja lagi.

"Kalau dulu ayah aktif ke sana-sini menguruskan artis, syarikat dan majlis di bawah Masa Entertainment, sekarang hanya saya dan seorang lagi adik, Mas Sazney menyambung legasi ayah," katanya.

Tambah Mas Sazley, ibu mereka yang pernah menguruskan artis ketika muda, perlu diberi penjagaan sepenuhnya selepas kedua-dua kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis.

Menurutnya, dia dan adik-beradik lain bergilir-gilir menjaga ibu dan ayah yang memerlukan tumpuan penuh.

"Emak menghidap kencing manis kronik sejak 20 tahun lalu. Keadaannya semakin teruk kira-kira dua tahun lalu apabila doktor mengesan penyakit itu menjejaskan saraf hingga luka di kaki tidak sembuh.

"Akibat jangkitan, kaki kiri emak dipotong sampai paras paha. Sebulan lalu, kaki kanannya pula dipotong pada paras betis. Sudah pasti situasi itu menyebabkan dirinya tertekan. Daripada seorang yang aktif, emak perlu dibantu untuk bergerak," katanya.

Mas Sazley berkata, selain memastikan makan-minum ibu bapa terjaga, mereka turut memastikan emosi dua insan kesayangan itu tidak terganggu.

"Sebagai anak, kami akan pastikan menjaga mereka sebaik mungkin," katanya lagi.

Berita Harian X