Ahad, 8 Julai 2018 | 4:36pm

'Harap jadi kenangan buat semua'

BANGI: Penyanyi, Nora Ariffin, 44, hampir menitiskan air mata apabila dapat merealisasikan impian arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi untuk menghasilkan album kompilasi seperti yang dihasratkan.

Idea yang dicetuskan arwah sejak dua tahun lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir, dianggap Nora sebagai penghargaan dan kesinambungan legasi muzik yang pernah diperjuangkan arwah.

"Saya kekok bersendirian hari ini kerana biasanya arwah (Johan) akan berada di sisi. Saya tidak terfikir untuk membuat album penghargaan ini. Tetapi, selepas setahun tiga bulan, akhirnya impian itu dapat direalisasikan.

"Saya juga berharap apabila saya sudah tiada nanti, naskhah ini akan menjadi kenangan buat semua. Siapa Nora tanpa Johan? Arwah adalah insan yang membawa saya ke dalam industri muzik dan memperkenalkan saya kepada semua.

"Saya sekadar menumpang kasih dan talian persahabatan yang arwah suami bina, malah berharap ikatan itu akan kekal hingga ke anak cucu," katanya pada majlis pelancaran album kompilasi, Karya Terbaik Johan Nawawi Tribute 30 Years, di sini, hari ini.

Album hasil perbincangan bersama arwah suaminya itu memuatkan 31 lagu karya Johan yang pernah dinyanyikan penyanyi tempatan dan seberang, termasuk sebuah lagu baharu ciptaan Sirkhan nyanyian Nora, Ada Dalam Tiada.

"Dalam komputer riba arwah, ada banyak senarai lagu yang ingin dimuatkan dalam album ini. Diikutkan, saya boleh pilih untuk terus berdiam diri, tetapi saya tetap mahu merealisasikan impian arwah. Ia bukan untuk peribadi, sebaliknya demi legasi akan datang.

"Saya mula mengenali arwah ketika menyertai program Bintang HMI pada 1990. Dua tahun selepas itu, kami mendirikan rumah tangga. Selama 24 tahun kami bersama dan pemergiannya meninggalkan ruang yang berlalu sepi.

"Allah saja yang tahu perasaan saya tanpanya. Bagi saya, setiap detik walaupun tanpa kehadirannya, arwah sentiasa ada dengan saya dan anak-anak.

"Perginya mengajar saya erti reda dan sabar. Saya sentiasa berdoa kepada Allah diberikan kesabaran yang berpanjangan. Saya yakin dalam setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya," katanya.

Johan menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mac tahun lalu akibat serangan jantung.

NORA terharu dapat merealisasikan impian arwah suaminya. Foto: Mahzir Mat Isa
Berita Harian X