Ahad, 8 Julai 2018 | 11:48am
PELAKON, Aishah Ilias. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Aishah Ilias. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Aishah tolak tawaran 'tak balik modal'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aishah Ilias, tidak teragak-agak untuk menolak tawaran lakonan yang dianggap 'tak balik modal' dengan keringat dicurahkan.

Menurut pelakon tinggi lampai ini, dia masih menerima peluang berlakon, namun harus bersikap realistik dalam perkara itu.

Menafikan tanggapan sudah bersara daripada kerjaya seni apabila kelibatnya tidak lagi kerap kelihatan di skrin televisyen, Aishah berkata, lebih baik dia menolak peluang yang tidak berbaloi dengan usahanya.

"Saya tidak hilang ke mana-mana, masih berlakon. Jika diikutkan, menang ada tawaran yang datang. Tetapi, saya perlu mengambil kira semua aspek, terutama dalam soal bayaran.

"Kalau jumlahnya tidak berbaloi atau 'tidak balik modal' untuk membayar bil, beli baju dan minyak kereta, lebih baik saya tolak," katanya.

Aishah, 30, berkata kali terakhir dia menjayakan penggambaran filem Musyrik, Disember lalu. Namun, demi minat terhadap seni, dia mengikut kursus lakonan jangka pendek sejak dua bulan lalu untuk mempertingkatkan mutu persembahannya.

"Saya tidak pernah jelak atau putus asa dengan dunia seni. Atas alasan itu, saya mencuri masa untuk mengasah lagi bakat lakonan.

"Saya percaya, tiba masanya nanti, pasti ada ruang untuk menyerlah dan lebih dikenali," katanya yang sudah lebih lapan tahun berkecimpung dalam lakonan.

Aishah berkata, dia juga jarang berkongsi perkembangan terkini menerusi media sosial, malah tidak aktif menggunakannya.

"Saya memang tidak terlalu aktif di media sosial, malah tidak memiliki kelab peminat. Sudah hampir setahun saya tidak mengemas kini akaun Instagram," katanya.

Diusik pertanyaan, apakah dia sudah mendirikan rumah tangga apabila dilihat semakin mendiamkan diri, Aishah menafikan perkara itu.

"Saya belum berkahwin. Kalau sudah menaiki pelamin, mesti ada majlis," katanya.

Berita Harian X