X
Jumaat, 8 Jun 2018 | 9:22am
SHAHRULEZAD bangga drama Nur diikuti lebih sembilan juta penonton. Foto: Mahzir Mat Isa
SHAHRULEZAD bangga drama Nur diikuti lebih sembilan juta penonton. Foto: Mahzir Mat Isa
GANDINGAN mantap Syafiq dan Amyra dalam drama rantaian Nur menarik sembilan juta tontonan sejak mula ditayangkan TV3, Ramadan ini.
GANDINGAN mantap Syafiq dan Amyra dalam drama rantaian Nur menarik sembilan juta tontonan sejak mula ditayangkan TV3, Ramadan ini.

Harap Nur buka mata masyarakat

KUALA LUMPUR: Pengarah, Shahrulezad Mohameddin mahu membuka mata masyarakat terhadap sikap segelintir pihak yang sanggup memperalatkan agama bagi menutup kejahatan menerusi drama arahannya, Nur.

Akur usahanya itu tidak mampu memuaskan hati semua pihak, terutama dari sudut plot yang dipilih, Shahrulezad bagaimanapun, berharap drama yang disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 menyuntik nilai moral kepada penonton.

"Saya ikhlas membuka mata penonton terhadap realiti segelintir masyarakat yang sanggup 'menunggang' agama demi kepentingan peribadi.

"Saya tahu, tidak semua pihak bersetuju dengan plot yang diketengahkan terutama watak Ustaz Hamadi yang dilakonkan Azhan Rani. Dia sanggup berselindung di sebalik perwatakan baiknya untuk mengaburi mata ramai.

"Itu hanya cebisan daripada realiti hari ini kerana di luar sana, masih ramai yang ikhlas dan jujur dalam perjuangan mereka. menegakkan agama. Cuma, kebaikan mereka ada kala ditenggelami dengan kemunculan manusia seperti Ustaz Hamadi," katanya.

Shahrulezad bersyukur, drama yang masih berbaki tiga episod itu berjaya mencatat jumlah tontonan mencecah sembilan juta.

"Drama ini menjadi bualan sejak awal tayangan, namun jumlah tontonannya kurang memberangsangkan kerana penonton menggunakan medium tidak sah. Melihat situasi itu, saya bersama-sama barisan pelakon berusaha keras menukar mentaliti itu.

"Alhamdulillah, usaha kami berhasil, sekali gus membantu karya yang bagus untuk terus menapak selesa. Syukur kerana Nur mengubah persepsi penonton yang beranggapan kebanyakan drama dewasa ini kurang berkualiti," katanya.

Menampilkan gandingan hebat Syafiq Kyle dan Amyra Rosli, Nur yang mula bersiaran sejak 14 Mei lalu turut dibintangi Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar, Laila Nasir, Datuk Jalaluddin Hassan, Kuna Mazani, Riena Diana dan Zaidi Omar.

Berita Harian X