Isnin, 28 Mei 2018 | 10:03pm

Eyra Hazali, Fendy Bakry main 'cubit-cubit' di lokasi

FAKTOR ayah sendiri duduk di kerusi pengarah dan 'masak' dengan pelbagai kisah di sebalik realiti dunia seni, mampukah pelakon remaja, Eyra Hazali bermain cinta lokasi?

Penangan drama rantaian Mr Grey yang menemukan Eyra dengan 'heronya' Fendy Bakry, tidak hairanlah peminat mula berkongsi imaginasi mahu melihat mereka 'disatukan' di alam realiti.

Mengakui ada usaha dalam kalangan penyokong yang mahu mereka menjadi pasangan kekasih apatah lagi masing-masing dilihat cukup serasi dalam watak dibawa, Eyra, 19, tampil menyatakan pendiriannya.

"Benar, memang ada peminat yang 'kenen' (cuba satukan) saya dan Fendy. Misalnya baru-baru ini, ketika sesi ramah mesra dengan peminat di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, ada peminat berani meminta kami menjadi pasangan kekasih di alam realiti.

"Saya tak bermain dengan cinta lokasi. Saya letakkan batas dalam perkara seperti itu," katanya kepada BH Plus.

Eyra yang mendapat bimbingan bapanya, Hazali Ramli, yang juga pengarah drama, sebaik mula menjejakkan kaki ke dunia seni bagaimanapun menghargai perhatian peminat yang suka melihat gandingan mereka dalam drama rantaian itu.

"Saya percaya ketika berlakon, baik saya mahupun Fendy harus meyakinkan penonton bahawa benar ada 'hubungan' antara kami di kaca televisyen.

"Keserasian itu penting dalam melancarkan aliran cerita, namun tidaklah sampai perlu bercinta," katanya.

Eyra atau nama sebenarnya, Hazirah Qasdina Hazali, berkata dia meletakkan garis profesionalisme dalam kerjayanya sebagai pelakon, malah mengakui kesusahan mencipta nama sebagai pelakon sejak usia kanak-kanak banyak mengajarnya membentuk kekuatan diri agar tidak tersasar.

Pernah merangkul trofi Pelakon Drama Televisyen (TV) Kanak-Kanak Terbaik ketika Anugerah Sri Angkasa 2010 pada usia 11 tahun, Eyra enggan tersasar daripada prinsip hidup dan matlamat sebenar menjadi anak seni.


PELAKON Fendy Bakry. - Foto Amirudin Sahib

Mudah serasi

Pertama kali digandingkan, Eyra dan Fendy yang boleh dianggap pelapis dalam dunia lakonan mula menambat hati peminat, malah percaya ada tuah mengiring mereka dalam drama Mr Grey.

"Keserasian terbentuk secara semula jadi...kami 'klik' begitu saja. Cara kami menyakat dan mengenakan diri masing-masing di lokasi mungkin menjadi punca kami serasi.

"Kalau hendak tau, Fendy menggelar saya 'gemuk' di set penggambaran dan saya pula cubit tangan dia kalau dia terlupa dialog...begitulah senarionya," katanya.

Tambah Eyra, dia dan Fendy sering berbincang dengan pengarah mengenai cara menghidupkan watak, selain menyuntik elemen humor.

"Saya dan Fendy masing-masing tidak terlalu terikat dengan skrip...kami cuba secara bersahaja," katanya.

Menguasai loghat utara dengan baik dalam drama itu, Eyra sering dipuji peminat apabila watak dibawa tampak 'hidup'.

Mewarisi penguasaan loghat utara dari ayah dan datuk yang berasal dari Pulau Pinang, Eyra tidak menyangka drama lakonannya mendapat sambutan hingga trending.

"Ketika menjalani penggambaran drama itu, saya tak terfikir ia akan mendapat sambutan luar biasa dan loghat utara saya juga dipuji.

"Nasiblah ada kelebihan kerana bapa dan datuk berasal dari Pulau Pinang, jadi tidaklah kekok. Saya sangat berterima kasih kepada peminat yang memberi komen dan pandangan positif," katanya.

Eyra berkata, sejak watak Nisa Ardina lakonannya popular, dia sering ditegur peminat menggunakan nama itu.

"Lucunya ada yang menyapa dengan loghat utara sama seperti dialog saya dalam drama terbabit," katanya.


PELAKON Eyra Hazali. - Foto Mahzir Mat Isa

Mula diintai pengarah lain

Impak Mr Grey kepada Eyra cukup besar sehingga dirinya mula menarik perhatian pengarah dan penerbit yang lain.

"Ramai penerbit dan pengarah menghubungi dan mereka mahu menawarkan watak kepada saya. Sebelum ini, ada yang kurang percaya dengan kemampuan diri ini.

"Rata-rata ramai tidak sangka saya boleh membawa watak seperti Nisa. Ramai yang mula memandang bakat saya biarpun sudah mula berlakon sejak kanak-kanak," katanya.

Perubahan yang ketara, tambah Eyra dirinya mula menerima tajaan pelbagai pihak termasuk pereka fesyen, malah ada beberapa tawaran menjadi jurucakap produk yang masih dibincangkan.

Eyra berkata, pengikut akaun Instagram turut melonjak daripada 100,000 kepada hampir 300,000 sejak drama Mr Grey meledak.

"Penangan watak Nisa sangat positif sehingga ada yang sanggup membeli novel kerana tak sabar hendak tahu penamatnya.

"Biar apapun, saya bersyukur sekali pun lambat mendapat perhatian. Setiap orang ada laluan dan cara tersendiri dalam hidup," katanya.

Mengenai produk terbaharu, gadis tinggi lampai ini berkata dia membintangi filem Ratu Kala Jengking : Puteri Keranda terbitan Datuk A Aida dengan melakonkan watak antagonis, selain ada beberapa tawaran lain sedang menanti.

Info Eyra Hazali

  • Nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali

  • Anak keempat daripada tujuh beradik

  • Dilahirkan pada 21 Februari 1999

  • Mula berlakon sejak usia enam tahun

  • Pernah tampil dalam video muzik Anuar Zain, Andainya Takdir dengan melakonkan watak sebagai anak kepada watak dilakonkan Anuar dan Sharifah Sakinah

  • Pada usia 11 tahun, Eyra merangkul trofi Pelakon Drama Televisyen (TV) Kanak-Kanak Terbaik, Anugerah Sri Angkasa 2010 hasil lakonan dalam telefilem Anak Anak Lorong
Berita Harian X